Home Nasional Pengarah KPDNHEP Melaka kemalangan

Pengarah KPDNHEP Melaka kemalangan

MELAKA – Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar terlibat dalam nahas jalan raya dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di sini.

Norena, 46, ketika dihubungi pemberita berkata, beliau ketika ini perlu menggunakan alat bantuan pernafasan selepas mengalami kesukaran untuk bernafas kesan kecederaan di dada, selain patah kaki kanan.

“Saya masih di ICU Hospital Pantai, sekarang ini perlu pakai alat bantuan pernafasan kerana sukar nak bernafas.

“Ketika kemalangan jam 6.50 pagi semalam, saya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja, tapi Alhamdulillah saya terselamat dan berharap orang ramai pakailah tali pinggang keledar kerana ia menyelamatkan nyawa.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan saya dan maaf jika ada mesej yang saya tidak sempat balas,” katanya ringkas.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, kereta jenis Perodua Myvi dipandu Norena bertembung dengan sebuah Proton Iswara dari arah Batu Berendam ke Masjid Tanah di lampu isyarat persimpangan di Cheng, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Iswara dipandu lelaki berusia 27 tahun itu hilang kawalan.

“Setiba di lampu isyarat persimpangan pasaraya Lotus, kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar Myvi dipandu Pengarah KPDNHEP Melaka yang datang arah bertentangan menghala ke Masjid Tanah.

“Akibatnya, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette