Home Nasional Cukup-cukuplah tumpang nama usaha BN – Penduduk DUN Paloh

Cukup-cukuplah tumpang nama usaha BN – Penduduk DUN Paloh

Abu Bakar Sulaiman.

PALOH – “Ibarat pepatah awak yang payah membelah ruyung, orang lain yang beroleh sagunya” itu tanggapan penduduk Kampung Muhibah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh terhadap penyandang di kawasan ini.

Bekas Ketua Kampung Muhibah, Abu Bakar Sulaiman, 77, berkata, sejak parti sebelum ini memerintah di kawasan DUN ini, tiada pembangunan baharu yang dilaksanakan sebaliknya hanya menumpang nama Barisan Nasional (BN).

“Dulu susah, jalan tiada, api elektrik pun tiada. Masa saya jadi ketua kampung dulu, BN yang banyak tolong saya bersama penduduk di sini. Saya minta bantuan BN dan Alhamdulilah.

“Apabila tukar kerajaan parti baharu di sini, seperti kembang semangkuk, ibarat saya sudah siap buat rumah, dia pula tinggal basuh kaki. Banyak projek dan infrastuktur sudah siap. Itulah dia tidak tahu BN telah banyak membantu kawasan ini,” katanya pada pemberita.

Penduduk Kampung Muhibah, Tokimin Risman

Sementara itu, Tokimin Risman, 71, yang telah menetap lebih 40 tahun di kampung ini berkata, pengundi mahupun anak muda diminta tidak membuat kesilapan dalam memilih pada PRN Johor kali ini.

Baginya hanya BN sahaja yang boleh membawa kepada kestabilan dan kemajuan negara, malah dia tidak mahu golongan muda melalui pengalaman yang getir sepertinya sewaktu penjajahan komunis di tanah air.

“Apa yang saya harapkan pada anak muda sekarang, jangan terlalu ikutkan perkhabaran yang tidak baik daripada pihak lain sebab sejak saya membesar di zaman komunis dahulu banyak perkara yang berlaku.

“Sifat komunis ini lain, apabila dia minta sesuatu daripada orang kampung, contohnya satu guni tetapi kita bagi dia setengah, mereka akan kata tidak apa tetapi bila tengok tanaman sudah ingin naik, akan ditebas habis. Kalau zaman British pula tiada masalah. Itu kenangan pahit maung saya.

“Bagi saya biarlah BN yang menang untuk PRN ini, sebab kita perlu pertahankan perjuangan untuk cucu-cicit kita dan mereka perlu bersyukur kerana kehidupan kita sekarang ini menjadi aman serta harmoni sepanjang pemerintahan BN terdahulu.

“Saya nasihatkan anak muda, ikutlah jejak nenek moyang kita yang telah mentadbir dan membangunkan negara ini dengan baik,” katanya dalam nada sebak. – MalaysiaGazette