Home Politik Teresa dakwa permohonan lanjut ceramah ditolak kerana PH pembangkang

Teresa dakwa permohonan lanjut ceramah ditolak kerana PH pembangkang

Teresa Kok

JOHOR BAHRU – Teresa Kok mendakwa pihak polis menolak permohonan melanjutkan tempoh ceramah Pakatan Harapan (PH) di Batu Pahat selama 30 minit kerana mereka pembangkang.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, sebagai seorang penceramah pada malam tersebut, beliau menyaksikan ketidakadilan terhadap penganjur ceramah PH pada malam tersebut.

”Dalam ucapan, saya telah merayu kepada pihak polis supaya membenarkan tambahan masa 30 mint sahaja untuk menggantikan masa yang diganggu oleh tarian singa yang dianjurkan oleh penyokong MCA-BN.

”Tetapi saya kecewa apabila permohonan terbuka saya itu ditolak oleh pegawai polis yang bertugas,” katanya.

Beliau mengulas kejadian itu selepas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah yang dipetik sebagai berkata mahu menjalankan siasatan terhadap ucapan saya yang berbau “ugutan terhadap polis” dalam ceramah anjuran Pakatan Harapan Yong Peng pada 26 Februari 2022.

Dalam satu kenyataan media berasingan, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham telah menjelaskan bahawa sebenarnya keadaan berpunca daripada gangguan bunyi tarian singa yang bising anjuran MCA-BN menyebabkan ceramah PH di Yong Peng terpaksa ditangguhkan selama setengah jam pada malam tersebut.

”Saya berpendapat MCA-BN sengaja mahu tunjuk kuat dengan membuli PH, mencerminkan keangkuhan MCA-BN.

”Saya juga rasa polis enggan membenarkan permohonan tambahan 30 minit kami semata-mata kerana Pakatan Harapan adalah pembangkang,” tambah beliau.

Kok berkata, dia sedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya mereka ingin menjalankan siasatan terhadapnya dan meminta pihak polis juga menjalankan siasatan terhadap pelanggaran prosedur operasi standard pilihan raya oleh pihak MCA-BN pada malam itu. – MalaysiaGazette