SEGAMAT- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah tanggapan pihak-pihak tertentu bahawa parti itu hilang taring dalam persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) lebih menonjol.
“Saya tengok gerakan (kempen) saya okay. Kenapa perhati semua sekali.
“Kalau tengok dalam report (laporan) kempen bergerak, cuma kita tak sekaya parti-parti lain sebab itu ia tidak besar,” katanya ketika menyertai kempen PKR di Felda Medoi di Segamat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menambah, Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon Menteri Besarnya tidak lama lagi, jika ia memenangi pilihan raya negeri.
Jelasnya, mesyuarat mengenai perkara ini sudah diadakan.
“Tetapi akan ada satu lagi mesyuarat PH dalam beberapa hari lagi kerana Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution positif Covid-19,” tambahnya.
Mengulas kempennya di Felda itu, Anwar menyifatkan masyarakat peneroka Felda kini semakin berfikiran terbuka berbanding dahulu.
Menurutnya, sekurang-kurangnya pada masa sekarang Felda sudah boleh ditembusi pembangkang.
“Kalau dulu langsung tak boleh.
“Saya tengok sekarang dah boleh masuk, tengok di Buloh Kasap tadi, saya disambut baik oleh penduduk tempatan,” katanya yang berkempen di Felda Medoi di Segamat di sini hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turun padang untuk bersama-sama berkempen dan memberi sokongan kepada Calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri N04, Going Thou. – MalaysiaGazette