Home Nasional Johor rugi 22 bulan ditadbir PH – Hasni

Johor rugi 22 bulan ditadbir PH – Hasni

Mahkota Johor tersergam indah dan merupakan salah satu mercu tanda yang menjadi tempat tumpuan orang awam untuk beriadah dan mengambil gambar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Laman Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 23 JANUARI 2022.

PONTIAN – Johor mengalami kerugian selama 22 bulan dalam merancakkan ekonominya ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu sebelum ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohamad berkata, ini kerana kelemahan pentadbiran diterajui Menteri Besar yang tidak berpengalaman dan gagal mengurus kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, ini menunjukkan PH adalah pembuat dasar yang lemah dan tidak mempunyai keberanian dalam mengemukakan pelan pembangunan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Johor sepatutnya menjadi negeri yang maju dan ke hadapan kerana berjiran dengan negara yang lebih maju namun terhenti apabila 22 bulan pertama tiada ada hala tuju yang jelas selain daripada bisnes sahaja.

“Itu bukan Johor yang selama ini diusahakan dan kita perlu mandat rakyat agar kerajaan yang kuat dapat dibentuk. Kita perlu letakkan Johor pada landasan sebenar.

“PH sebelum ini menampilkan MB yang tidak ada pengelaman dan kena dibimbing oleh Setiausaha Kerajaan Negeru hingga menjadi pembuat dasar yang takut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ceramah Bangsa & Melancarkan Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang di sini hari ini.

Hasni menambah, kelemahan pentadbiran PH perlu diperbetulkan agar Dewan Undangan Negeri merupakan jantung kerajaan negeri untuk membuat dasar yang berkesan.

“Jika jantung terhenti habislah. Maka kita perlu perkukuh DUN untuk buat dasar kerana Johor adalah pintu masuk paling sibuk di dunia.

“Namun kini Johor tidak lagi bergemerlapan selepas 22 bulan di bawah PH dan tidak bersinar serta tidak menjadi pilihan pilihan pelabur

“Sampai bila Johor perlu jadi negeri biasa-biasa sebaliknya negeri ini perlu di hadapan. Jadi 12 Mac nanti, pengundi jangan silap buat keputusan kerana lagi 10 tahun pun Johor tidak akan kembali seperti dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette