GUA MUSANG – Sekurang-kurangnya empat sekeluarga maut apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap oleh sebuah treler di Jalan Gua Musang – Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh di sini pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu menyebabkan keseluruhan kereta tersebut remuk bagaimanapun punca kemalangan masih belum di ketahui.
Pada masa kini, pasukan penyelamat yang terdiri daripad anggota bomba dan polis sedang melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Jumlah keseluruhan mangsa yang berada dalam kereta tersebut masih belum diketahui.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdullah Daud berkata, kejadian itu membabitkan treler membawa muatan beras dan sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Jumlah sebenar mangsa masih belum diketahui kerana kerja-kerja mengeluarkan mangsa masih dijalankan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan penyelamat Gua Musang, Anuar Abas memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.24 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota dan tiga jentera telah berkejar ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Operasi untuk menyelamat dan mengeluarkan mangsa sedang dijalankan pada ketika ini” katanya.- MalaysiaGazette
Comments are closed.