Home Politik BN akan capai kemenangan lebih baik di DUN Sri Medan – Zulkurnain

BN akan capai kemenangan lebih baik di DUN Sri Medan – Zulkurnain

Aksi calon Barisan Nasional (BN) N.18 Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan (kiri) ketika meluangkan masa bermain bola sepak bersama anak muda tempatan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Padang Bola Sepak Taman Industi Seri Sulung, Batu Pahat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2022.

BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan yang lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Itu keyakinan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan dalam memastikan kerusi berkenaan terus dipertahankan.

Zulkurnain atau lebih mesra disapa sebagai Tok Jun merupakan penyandang kerusi DUN Sri Medan selepas menewaskan dua calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 6,040 undi.

Pada pertembungan kali ini, beliau akan berdepan dengan saingan empat penjuru melibatkan calon PKR, Azmi Masrani; calon Pejuang, Mohd Firdaus Abdul Malek serta calon PN, Halim Othman Kepol.

Jelas Zulkurnain, BN telah menunjukkan komitmen yang baik terhadap pengundi-pengundi di DUN Sri Medan dan adalah tidak mustahil untuk parti itu terus mempertahankannya pada PRN Johor.

“Kita lihat dalam tempoh berkempen penerimaan memang sangat baik dan saya yakin dengan apa yang telah kita lakukan selama ini dan juga semua komitmen yang telah kita berikan, tidak mustahil kita akan berjaya mencapai kemenangan yang lebih baik berbanding PRU14 lalu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas meluangkan masa bermain bola sepak bersama anak muda di Taman Industri Seri Sulung di sini semalam.

Ketika ditanya apakah tawaran yang bakal disajikan oleh BN sekiranya diberikan mandat, Zulkurnain berjanji parti akan menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak boleh diganggu gugat.

“Apa yang boleh kita janjikan adalah kestabilan, kalau kita lihat Ikhtiar BN Johor kita menjanjikan kestabilan, bila kita stabil dari semua segi kita mampu lakukan perkara yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong. – MalaysiaGazette