NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggerakkan kumpulan pertama sukarelawannya terdiri daripada kakitangan dan pelajar ke Kemaman, Terengganu bagi Misi USIMPrihatin pasca banjir.
Seramai 47 orang sukarelawan terdiri daripada 39 orang pelajar lapan kakitangan telah bertolak ke Kemaman pada hari ini dan akan berada di sana sehingga Ahad nanti.
Lokasi di Kemaman yang menjadi fokus pasukan Misi USIMPrihatin ialah Kampung Air Puteh dengan menumpukan kepada operasi pencucian kediaman penduduk kampung yang terjejas, Sekolah Kebangsaan Air Puteh dan Masjid Kampung Air Puteh.
Selain itu turut dilaksanakan adalah agihan sumbangan barangan asas seperti makanan, keperluan bayi, ubat-ubatan, tilam dan bantal.
Menurut Umairatul Izzah Md Ariff Maricar, 24, penuntut Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah yang mengetuai kumpulan sukarelawan pelajar dalam misi ini, sambutan yang diterima oleh mahasiswa USIM untuk bersama dalam bantuan pasca banjir ini amat baik.
”Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertangungjawab dalam menyelaras penglibatan pelajar, kita hanya memerlukan sekitar 30 orang sukarelawan sahaja bagi misi ini tetapi permohonan yang diterima mencecah 70 orang.
”Ini menunjukkan siswa kita begitu prihatin dan bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan terjejas dengan bencana banjir ini. Di pihak MPP sendiri, seramai 10 orang turut bersama ke Kemaman.
”Mahasiswa sentiasa bersedia untuk menyantuni masyarakat dalam pelbagai cara dan kita sebelum ini turut membantu dalam misi pasca banjir akhir tahun lalu yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya yang juga merupakan Exco Kesukarelawanan dan Kemanusiaan MPP USIM
Pelepasan kumpulan pertama misi ke Terengganu ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff bertempat di Pusat Sukan pada pagi Jumaat. – MalaysiaGazetet