PULAU PINANG – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu kerajaan bertegas menghalang penganjuran pesta arak termasuk Oktoberfest yang dirancang di negara ini.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, kerajaan juga perlu bertindak terhadap sebarang usaha menganjurkan pesta seumpama itu bagi mengelak ia d berkembang dari tahun ke tahun disebabkan promosi yang lebih intensif oleh syarikat arak.
Menurut beliau, CAP tetap berpendirian pesta arak bukan budaya Malaysia malah dari perspektif agama, mengambil minuman alkohol adalah haram bagi umat Islam.
Malah, katanya, penganut agama Kristian, Buddha, dan Hindu juga tidak diunjurkan untuk mengambil alkohol terutamanya disebabkan ia memabukkan.
“Alkohol menjejaskan fungsi otak yang mengakibatkan penilaian yang lemah, mengurangkan masa tindak balas, kehilangan imbangan dan kemahiran motor, atau pertuturan yang tidak jelas.
“Ia juga dikaitkan dengan penyakit kronik seperti sirosis hati, pankreatitis, pelbagai kanser termasuk hati, mulut, kerongkong, larinks dan esofagus; tekanan darah tinggi dan gangguan psikologi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut S. M. Mohamed, laporan Status Global mengenai Alkohol Pertubuhan Kesihatan Dunia 2004 melaporkan ramai remaja Malaysia mula mengambil minuman alkohol pada usia yang lebih awal selain dianggarkan RM2 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk alkohol.
Selain itu, katanya, laporan tersebut menyebut sebanyak 45 peratus belia Malaysia di bawah usia 18 tahun mengambil alkohol dengan kerap.
“Daripada semua dadah yang sah dan haram, alkohol jauh lebih meluas penggunaannya oleh remaja, dan menurut kajian kebangsaan ramai daripadanya kerap meminumnya sehingga berlebihan,” katanya.
Ujar beliau, kecenderungan itu amat membimbangkan dan kebenaran kepada penganjuran pesta arak menunjukkan kerajaan menyampaikan isyarat salah kepada rakyat kononnya bukan masalah untuk meminum alkohol dengan berlebihan.
Di pihak industri alkohol pula, ujar beliau, ia menarik orang ramai dengan iklan dan promosi, menggalakkan gaya hidup meminum alkohol yang pada hakikatnya membahayakan kesihatan.- MalaysiaGazette