KUALA LUMPUR – Pemberian susu durian secara percuma jenama Nilofa yang bermula sejak 2 Mac lalu terpaksa dihentikan selepas mengambil kira beberapa faktor.
Pengasas jenama berkenaan yang juga merupakan selebriti popular, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian atas sebab tidak dapat dielakkan.
“Kami akan umum tarikh dan tempat baharu pemberian susu durian percuma untuk semua orang secepat mungkin,” katanya menerusi Instastory.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram rasmi Nilofa, dua sebab dikenal pasti mengapa pemberian susu perisa berkenaan secara percuma dihentikan.
“Dengan rendah diri, kami dari pihak Nilofa ingin memohon maaf atas penangguhan pengambilan susu durian percuma kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Pertamanya, keadaan lalu lintas yang tidak terkawal dan keduanya, demi tujuan memperkasakan lagi prosedur operasi standard (SOP) pengambilan susu,” tulis kenyataan tersebut.
Masih lagi dalam proses berpantang selepas melahirkan anak sulung, Muhammad Bilal pada 29 Januari, usaha murni memberikan susu durian percuma dipuji dan ramai mendoakan agar rezekinya berlipat ganda. – MalaysiaGazette