PETALING JAYA – Aplikasi MySejahtera boleh dipertimbangkan menjadi platform rakyat membuat deklarasi sebagai penderma organ.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mencadangkannya berkata, langkah itu akan memudahkan rakyat menyatakan persetujuan mereka menderma organ.
Ini kerana, katanya, penderma organ termasuk buah pinggang dilihat semakin berkurangan.
“Sekarang ini kita lihat jumlah mereka telah setuju untuk memberi organ semakin kurang dan saya maklumkan ktia mungkin boleh guna MySejahtera sebagai satu aplikasi untuk memudahkan rakyat Malaysia membuat bersetujuan untuk menderma organ mereka,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Dialisis Tahunan Ke-16 2022 di sini hari ini.
Khairy berkata, selain menjalani rawatan dialisis, penyakit buah pinggang boleh dirawat dengan melakukan pembedahan pemindahan.
Tambah beliau, usaha mencegah penyakit buah pinggang juga boleh dilakukan dengan membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Usaha kita mengurangkan penyakit dialisis ini selain daripada dialisis sudah tentu adalah langkah-langkah pencegahan melalui pemeriksaan kesihatan yang dibuat berkala,” katanya lagi.
Terdahulu katanya, pada tahun 2040 dijangka seramai 100,000 pesakit buah pinggang terpaksa bergantung dengan rawatan dialisis sekiranya penyakit ini semakin meningkat. -MalaysiaGazette