Home Politik Tak mustahil lima, enam kerusi zon utara milik PH – Syed Ibrahim

Tak mustahil lima, enam kerusi zon utara milik PH – Syed Ibrahim

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh (dua kanan) pada sidang media bersama calon PKR zon utara di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang di Parit Jawa, Muar.

MUAR – Pakatan Harapan (PH) optimis gabungan itu dapat meraih di antara lima hingga enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membabitkan zon utara.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, terdapat banyak peluang yang terbuka untuk PH di Johor berbanding PRN Melaka sebelum ini.

“Saya lihat dari segi kemampuan dan peluang itu terpampang jelas kerana kemenangan dahulu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kemenangan PH dengan menggunakan logo PKR.

“Kerusi yang dimenangi dahulu adalah kerusi yang diberikan sokongan dan juga manifesto dibawa oleh PH didokong oleh rakyat.

“Sebab itu saya rasa di sebelah utara ini kita boleh ambil lima hingga enam kerusi termasuk dari Amanah (Parti Amanah Negara) dan DAP, ia tidak mustahil berlaku,” katanya pada sidang media bersama calon PKR zon utara di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Parit Jawa di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat tiada parti yang akan mendominasi kemenangan pada PRN Johor kali ini berikutan ia melibatkan pertandingan banyak penjuru.

“Pertandingan banyak penjuru ini akan menyebabkan undi terpecah dan tidak akan ada yang dominan, tidak seperti yang berlaku di Melaka. Kalau ada pun yang dapat majoriti, ia tidak begitu besar.

“Sebab itu semua parti ada ‘fighting chance’ dengan strategi tersendiri termasuklah PKR dalam memastikan pengundi keluar untuk mengundi nanti.

“Atas dasar itu, kita ada peluang yang baik untuk kerusi-kerusi di zon utara dan kemudian ditambah pula di zon selatan dan zon tengah,” ujarnya. – MalaysiaGazette