Home Politik PRN Johor: ATM sudah siap sedia undi awal – Hishammuddin

PRN Johor: ATM sudah siap sedia undi awal – Hishammuddin

MPN reopening national borders Hishammuddin Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Hussein

MERSING – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersiap sedia memastikan anggota-anggotanya mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Selasa ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap hari pengundian awal itu berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan negatif yang diterima berhubung persiapan undi awal.

“Saya percaya mereka (anggota-anggota ATM) sudah bersiap-sedia,” katanya semasa hadir merasmikan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia di Hotel Seri Malaysia di sini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut mengingatkan mengingatkan semua pihak berpolitik secara matang dan tidak menjadikan PRN Johor sebagai platform politik kebencian yang akan membawa kepada perpecahan.

“Jangan kita menang sorak tetapi kampung tergadai.

”Dalam kita melihat ke hadapan, pastikan perjalanan kita dalam PRN Johor ini tidaklah sampai menanam kebencian dan perpecahan dalam kalangan kaum dan agama.

“Perkara ini perlu ditumpukan apabila PRN Johor berakhir nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette