SEMBRONG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R. Vidyananthan mengakui kempen pilihan raya masih perlu walaupun wajahnya cukup sinonim dengan penduduk setempat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Vidyananthan yang akan bertanding buat kali keempat bagi DUN yang sama.
Baginya, walaupun beliau sudah dikenali namun ia bukan ‘lampu hijau’ kepadanya untuk tidak bersungguh-sungguh berkempen.
“Menang atau tidak, kita perlu turun. Sebenarnya saya tidak turun sini kerana musim PRN atau PRU sahaja sebaliknya hubungan kami di sini agak rapat sejak berbelas tahun dahulu lagi.
“Sejak saya mula bergelar wakil rakyat DUN Kahang pada 2008 sehinggalah saat ini, saya akan sentiasa berada di kawasan walaupun pada masa sama ada tanggungjawab lain juga antaranya menjadi Exco serta jawatan parti.
“Malah jika saya tidak turun seminggu dua, terus saya dapat panggilan mengapa sudah lama tidak datang, baru dua minggu. Saya sendiri akan rindu jika tidak bertemu penduduk setempat yang sudah seperti keluarga.
“Muka dan wajah mereka serta keluarga mereka semuanya termasuklah Orang Asli sudah saya kenali dengan baik, begitu juga dengan mereka. Saya tidak guna pembantu atau orang ketiga sebaliknya saya sendiri akan tangani sesuatu isu juga.
“Saya sudah seperti keluarga untuk mereka, untuk baik atau buruk mereka akan pastikan saya hadir sama, begitulah keakraban saya dengan mereka ini,” katanya.
Bagi DUN Kahang kali ini, pertandingan empat penjuru antara Vidyananthan dengan Daud Yusof (PN), Rohani Banu Abd Rahman Krishnan (PH) dan Rosdi Amir (Pejuang).
Sebelum ini, Vidyananthan telah menewaskan calon PKR, Norlihan Ariffin dengan majoriti 2,861 pada Pilihan Raya Umum 2018.
Dalam pada itu ketika berbicara tentang pengundi baharu dan muda di Kahang, Vidyananthan yang juga Pengerusi MIC Johor berkata selama beberapa tahun kebelakangan ini beliau telah mula memperkasa golongan belia.
Menurutnya, bukan sahaja program seperti pertanian diberikan fokus sebaliknya golongan belia juga diberi pendedahan tentang Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Calon BN Kahang, R Vidyananthan bermesra dengan warga Kahang yang tidak asing baginya.
“Saya sudah mula memperkenalkan pelbagai program kemahiran dan latihan serta IR4.0. Latihan seperti ini akan memudahkan golongan belia di Kahang mendapatkan persijilan yang akan memberi peluang pekerjaan dengan gaji baik.
“Sebenarnya walaupun kehendak dan keperluan antara masyarakat bandar dan luar bandar ini berbeza kerana keadaan geografinya juga namun kita tetap cuba buat semua seiring dengan permodenan masa kini.
“Kahang merupakan kawasan luar bandar. Di sini terdapat tanah rancangan FELDA , perkampungan tradisi, perkampungan Orang Asli, kampung baharu dan kampung Orang India. Mungkin di kawasan bandar, bangunan pencakar langit dilihat sebagai konteks pembangunan tetapi ia tidak berlaku di sini,” jelasnya.
“Jadi, terpulang kepada bukan sahaja pengundi baharu yang akan mengundi atau golongan belia sebaliknya kesemuanya yang undi pada PRN ini untuk membuat pilihan paling baik, pada saya prestasi saya dan BN bukan dinilai hari ini sahaja sebaliknya sebelum ini juga,” katanya.- MalaysiaGazette