Home Politik Bila nak jadi ADUN baru mahu bawa kemajuan, Azmin tempelak Maszlee

Bila nak jadi ADUN baru mahu bawa kemajuan, Azmin tempelak Maszlee

Mohamed Azmin Ali hadir ke DUN Layang-Layang menyantuni golongan usahawan muda bersama calon PN DUN Layang-Layang, K Alagathiran hari ini. Kredit foto: Facebook Azmin

SIMPANG RENGGAM – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mempersoalkan kemampuan Maszlee Malik yang berikrar untuk membawa kemajuan di DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedangkan berjanji kosong sebelum ini.

”Semalam saya dengar salah satu calon bertanding di Layang-Layang berkata berilah peluang kepada dia untuk menjadi ADUN Layang-Layang supaya dia boleh bawa lebih banyak kemajuan di DUN ini.

”Tetapi dia lupa, dia juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, dia pernah menjadi Menteri Persekutuan. Takkanlah bila kamu jadi menteri gagal bawa kemajuan di Layang-Layang tetapi bila hendak jadi ADUN baru hendak bawa kemajuan?,” soal Azmin.

Maszlee merupakan antara empat calon yang akan berebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut Azmin, semua ikrar Maszlee itu adalah janji-janji kosong. Enough is enough (cukup-cukuplah). Kita angkat Perikatan Nasional yang terbukti rekod pentadbirannya yang cemerlang ketika kita berada dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian di hadapan kira-kira 50 orang pada program santai bersama anak muda yang disertai calon PN bagi DUN Layang-Layang, K Alegenthiran.

Azmin berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tokoh mantan menteri besar negeri ini yang telah berkhidmat dengan begitu cemerlang sehingga berjaya mengangkat ekonomi Johor satu ketika dahulu.

”Johor pernah jadi penyumbang utama KDNK (keluaran dalam negara kasar) di bawah Menteri Besar, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selama 10 tahun ketika menjadi menteri besar, Johor muncul sebagai negeri yang menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

”Sekiranya Johor dipimpin oleh seorang pemimpin berintegriti, berwibawa, tidak rasuah mencuri, negeri ini akan makmur sejahtera namun lihatlah apa sudah jadi dengan Johor kini. Satu ketika dulu Johor hebat,” kata Azmin. – MalaysiaGazette