Home Politik Tiga parti diserang histeria hanya untuk tumbangkan BN – Ibrahim

Tiga parti diserang histeria hanya untuk tumbangkan BN – Ibrahim

Ibrahim Ali

BATU PAHAT – Kepimpinan Parti Perikatan Nasional (PN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) disifatkan seperti diserang ‘histeria’ kerana saling bersaing  dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semata-mata untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu mendakwa, pimpinan ketiga-tiga parti berkenaan sekadar mempunyai agenda masing-masing yang tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat.

PN, PKR dan Pejuang ddakwa beliau menjadikan pentas PRN Johor sebagai tempat untuk mendapatkan kuasa dan sikap rakus seperti itu hanya akan menyebabkan rakyat negeri ini terus berdepan dengan masalah.

“Sebenarnya kalau rakyat sedar mereka itulah pencetus masalah kepada negara. Mereka telah menikmati kemewahan dengan kuasa dan kekayaan sebelum ini, mereka inilah yang melanjutkan permasalahan negara.

“Jadi, saya berharap pengundi di DUN Semerah ini menyedari dan menghukum mereka. Mereka bertanggungjawab kepada kegawatan politik negara pada hari ini,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, Putra merupakan sebuah parti kecil yang tidak terlibat dengan segala permasalahan tersebut dan disebabkan itu ketamakan untuk merebut kuasa tidak berlaku.

Dengan mengambil contoh kisah Raja Namrud membakar Nabi Ibrahim kemudian burung pipit menjadi penyelamat untuk memadamkan api, Ibrahim berkata, Putra mempunyai sifat seperti burung pipit itu.

“Putra ini parti baharu, kecil, siapa sangat Ibrahim Ali nak dibandingkan dengan mereka. Cuma, kelebihan kami, kita ini bersih, bermoral, tidak hipokrit dan tak munafik,” ujarnya.

Justeru, beliau merayu agar pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah untuk memberi peluang kepada Putra yang hanya bertanding satu kerusi di DUN tersebut untuk membawa perubahan terhadap apa yang berlaku itu. – MalaysiaGazette