Home Seni Hidup Khasiat mi tarik segera safron

Khasiat mi tarik segera safron

Mi tarik segera jenama Makemi memiliki tiga perisa perencah.

KUALA LUMPUR – Solehah Trading menyasarkan jualan mi tarik segera keluarannya berjenama Makemi sebanyak 20,000 karton sebulan sepanjang tahun ini selepas berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu.

Pengasasnya, Sarah Ahmad Nafiah berkata, keyakinan itu berdasarkan keistimewaan kandungan utama bahan produk tersebut yang mengguna perahan jus safron iaitu sejenis bunga dalam adunan tepung tanpa menggunakan bahan kimia.

Menurut beliau, ketika ini pihaknya telah berjaya menjual keseluruhan hampir 10,000 karton produk itu dalam usaha memperkenalkan mi tarik segera yang sihat dan berkhasiat kepada masyarakat.

“Peminat mi tarik segera kini boleh memilih tiga menu jenama Makemi iaitu Sup Ayam Kicap, Kari Santan Asli dan Tomyam Kelapa.

“Apa yang menarik, perisa ayam adalah asli di mana tidak menggunakan serbuk ayam manakala penggunaan santan pula adalah asli dan bukannya krimer.

“Selain jus saffton, mi tarik Makemi juga menggunakan tepung tanpa asid peluntur dan bahan awet asid borik selain perencahnya tiada bahan kandungan aditif monosodium glutamate (MSG),” katanya yang mengunakan modal sendiri untuk memulakan perniagaannya yang beroperasi dari rumahnya di Kajang.

 

Mi tarik segera jenama Makemi adalah keluaran syarikat Bumiptera iaitu Solehah Trading.

Solehah Trading memulakan perniagaan atas talian dari rumah dengan memperkenalkan makanan sunnah bermula pada 2013 dan sehingga kini, setiap produk yang dijalankan sentiasa berasaskan makanan sunnah.

Produk makanan tambahan iaitu vitamin Gummy Buah-Buahan ISQ dengan formula tujuh makanan sunnah adalah produk pertama keluaran syarikat itu.

Mengulas lanjut, Sarah memberitahu, pihaknya turut merancang untuk menambah rakan niaga terutama di kalangan suri rumah untuk menjana pendapatan tambahan bersama Solehah Trading.

Kata beliau, golongan itu perlu merebut peluang kerana mi tarik segera Makemi merupakan produk makanan yang mampu menjaga kesihatan pengguna pada jangka panjang.

Malah ujarnya, Soleha Trading juga ingin memberi manfaat kepada orang ramai untuk menjadi pengguna yang bijak.

“Kami mahu menawarkan produk yang bukan sedap semata-mata tetapi yang penting sihat dan pantas pula dihidangkan.

“Pada masa sama, bagi golongan suri rumah mereka menambah pendapatan sambal membeli mi tarik segera sebagai antara menu yang disediakan untuk sesi keluarga,” katanya.

Mi tarik segera jenama Makemi berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu.

Sarah turut berkongsi pengalamannya dalam bisnes apabila berdepan cabaran yang dihadapi sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Jelas beliau, pihak berdepan kekangan dalam mempromosikan jualan secara fizikal akibat pergerakan yang terhad sepanjang tempoh itu.

Namun tegasnya, beliau menaruk keyakinan tinggi dengan produk makanan dalah satu keperluan harian dan mempunyai pasaran luas di negara ini.

 “Dalam bisnes ini, kita perlu konsisten dan meneruskan usaha tanpa putus asa dan sentiasa bersedia untuk menambah ilmu perniagaan dan agama dan perniagaan.

“Pada masa sama, saling membantu dan mengeratkan persaudaraan sesama rakan niaga juga penting dalam mengekalkan momentum dan semangat untuk melangkah ke hadapan,” katanya yang memiliki 20 rakan niaga dan menyasarkan seramai 200 orang pada akhir tahun ini.

Mi tarik segera Makemi dijual pada harga RM14 sekotak untuk tiga kali hidangan dan orang ramai yang ingin mencubanya boleh membeli secara atas talian di Instagram meesaffron_official. – MalaysiaGazette