Home PRN Johor Dua calon DUN Pemanis bantu rewang kenduri kahwin

Dua calon DUN Pemanis bantu rewang kenduri kahwin

Calon BN N.03 Pemanis, Anuar Manap (dua kanan) bersama pesaingnya iaitu calon PN, Uzair Ismail (tiga kiri) melakukan aktiviti rewang bersama orang kampung ketika menghadiri majlis perkahwinan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Jawa, Segamat. Foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2022.

SEGAMAT – Dua dari empat calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis memeriahkan suasana kenduri majlis perkahwinan apabila turut sama merewang bersama penduduk di Kampung Jawa, Segamat, hari ini.

Kedua-calon tersebut, Uzzair Ismail dari Perikatan Nasional (PN) dan Anuar Abd Manap dari Barisan Nasional (BN) kelihatan seronok menyantuni penduduk sambil meluangkan masa dengan merewang di bangsal dapur kenduri.

Tinjauan MalaysiaGazette melihat kedua-dua calon tersebut menceduk gulai daging dan kari ke dalam besen untuk dihilangkan ke meja lauk-pauk kepada tetamu.

Calon BN N.03 Pemanis, Anuar Manap (dua kanan) bersama pesaingnya iaitu calon PN, Uzair Ismail (tengah) melakukan aktiviti ‘rewang’ bersama orang kampung ketika menghadiri majlis perkahwinan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Jawa, Segamat. Foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2022.

Anuar Manap yang tiba di majlis seawal pagi disusuli kedatangan Uzair Ismail tidak kekok bekerjasama di bawah khemah serta dibantu oleh tukang rewang lain.

“Persahabatan yang terjalin tidak terputus disebabkan  politik dan terima kasih orang kampung menerima kerana kehadiran kami berdua yang kebetulan bertembung di sini,” kata Uzair.

Uzair dan Anuar bakal bertemu dengan Yoong Thau (PKR) dan Dr Azita Amien (Penjuang) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini meneruskan kempen memasuki hari kelapan.

“Kita tunjuk keharmonian dan demokrasi dalam berpolitik, ini cara yang baik kita tunjukkan kepada rakyat, boleh berbual dan bertukar pendapat,” kata Anuar.

Sementara itu, bagi keluarga mempelai, mereka berbesar hati menerima kehadiran kedua-dua calon sebagai tetamu dan memeriahkan kenduri.

Nurdilah Mat Jani, 53, dan suami Abdul Nasir Mansur, 55,  meraikan majlis perkahwinan puterinya,  Nuar Aliah Abdul Nasir dan menantu, Muhammad Firdaus Muhammad Nazri hari ini secara bergotong-royong.

“Alhamdulillah, kita terima kehadiran dua-dua calon sebagai tetamu dan kami juga menyediakan surau untuk semua tetamu.

“Tanggungjawab kita sebagai muslim menyemai dan menjaga silaturahim serta menjaga kebajikan sesama kita, syukur majlis berjalan lancar,” katanya Nurdilah. – MalaysiaGazette