RAWANG – Di kala sibuk kes varian Omicron yang cepat merebak, pasukan petugas barisan hadapan rangkaian klinik SP Care Group sempat membantu mangsa banjir di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.
Pengasas SP Care, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, sejurus mendengar tentang keadaan banjir di negeri itu kebanyakan lokasi terputus hubungan dengan keadaan air tidak surut-surut pasukannya membuat keputusan membantu mangsa bencana.
Beliau bersama kumpulan seramai 15 orang yang dalam kalangan doktor, jururawat, pekerja kesihatan, pekerja am di kliniknya pergi ke Tumpat setelah menerima panggilan daripada rakannya memaklum mangsa banjir memerlukan bantuan.
“Ini bukan pengalaman pertama kita bantu mangsa banjir, sebelum ini kita sudah belajar sendiri apakah yang perlu dilakukan untuk membantu mangsa banjir ketika bencana itu melanda hampir seluruh negara hujung tahun lepas.
“Walaupun hampir kesemua staf di klinik saya amat sibuk sehingga ada yang bekerja lebih dari lapan jam kerana peningkatan kes selain kes kesihatan yang lain tetapi apabila kami dapat tahu tentang keadaan banjir di Kelantan, kami tidak dapat lihat sahaja.
“Semua pekerja di SP Care bukan sahaja terlatih sebagai barisan hadapan tangani pandemik Covid-19 tapi sejak itu banyak lagi isu serta permasalahan yang timbul di negara ini, kami juga mahu tampil membantu. Kami tidak sanggup berpeluk tubuh melihat atau mendengar sahaja,” katanya.
Menurutnya, keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu sejak beberapa hari lepas memang meruntun hat dan mereka menggunakan segala aset yang ada seperti digunakan ketika membantu mangsa banjir di Selangor tempohari.
“Kami bergegas ke Tumpat dengan menaiki beberapa buah kenderaan pacuan empat roda, redah malam, hujan lebat tidak henti-henti serta air yang tidak surut itu. Apabila selamat sampai di sana, kami mendapat tahu kawasan di salah satu perkampungan di Simpangan, Tumpat itu terputus hubungan,” ujarnya.
Menurut Dr. Sathia Prakash, jalan masuk ke kawasan banjir terputus hubungan dengan keadaan air yang tinggi mencabar.
“Air memang tinggi, kita guna pacuan empat roda. Sempat juga kita ke sebuah pasar raya untuk dapatkan semua keperluan makanan asas untuk sekurang-kurangnya 30 keluarga. Kita kembali ke situ dan mula menghulurkan barangan makanan serta ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain.
“Ada rumah itu, penghuninya baru sahaja tiga hari selepas melahirkan anak dan masih berpantang. Saya sempat berikan sedikit bantuan ubat-ubatan serta khidmat nasihat yang diperlukan. Kasihan juga tengok keadaan mereka yang selalu berdepan isu banjir.
“Saya juga dimaklumkan SP Care adalah badan swasta pertama yang hadir hulur bantuan pada masa itu, semoga lebih ramai akan tampil bantu bagi kurangkan tanggungan mereka pada masa ini selain kerajaan mencari alternatif seperti membina tebatan banjir untuk selesai isu yang begitu lama di sini,” katanya.- MalaysiaGazette