Home Politik Mana ada MUDA ceroboh masuk – Syed Saddiq

Mana ada MUDA ceroboh masuk – Syed Saddiq

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berucap sempena kempen Ceramah Mega Pakatan Harapan di DUN Bukit Pasir di Kampung Sungai Terap, Muar.

MUAR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak menyalahgunakan aset kerajaan berhubung isu bilik gerakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerangkan, MUDA bukanlah sebuah parti yang berada di dalam tampuk pemerintahan ketika ini dan tuduhan menyalahguna aset kerajaan adalah tidak berasas.

Menurut beliau, kontrak sewaan dan segala proses dokumentasi juga jelas menunjukkan bangunan itu disewakan kepada partinya.

“Saya diberi taklimat oleh MUDA Larkin bahawa mereka telah ada proses pembayaran kontrak yang ditanda tangani, mereka juga telah tunjukkan bahawa bilik gerakan itu disewakan kepada MUDA secara jelas termasuk pembayaran, tempoh kontrak serta semua dokumentasi itu ada dan saya rasa biarlah mereka selesaikan isu ini.

“Perkara ini juga bukan perkara yang disembunyikan, MUDA pun letak logo besar-besar di sana, bukannya kami tiba-tiba ceroboh masuk.

“Sebab itu saya rasa pelik (apabila) pihak UMNO kata kenapa salah guna aset kerajaan sedangkan MUDA tidak berada dalam kerajaan bagaimana mahu guna aset,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir di Kampung Sungai Terap malam tadi.

Ahli Parlimen Muar itu juga kesal kerana isu tersebut timbul di tengah-tengah kesibukan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Yang lebih pelik adalah hujah mereka ini aset kerajaan, kita ada bayaran bulanan, jadi mereka masih mahu kata (salah guna) aset kerajaan?

“Lihat sendiri dewan-dewan yang UMNO guna sebagai bilik gerakan adakah mereka membayarnya? Itulah realiti dan rakyat boleh nilai sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada bilik gerakan MUDA Larkin itu akan berpindah ke lokasi lain, Syed Saddiq memaklumkan beliau belum menerima sebarang maklumat berkaitan perkara itu.

Pada Ahad, MUDA menafikan dakwaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Johor berhubung pencerobohan dilakukan parti itu terhadap aset milik syarikat berkenaan.

Calon MUDA bagi DUN Larkin, Rasid Abu Bakar berkata, sebaliknya parti telah menyewa premis berkenaan secara sah daripada pihak yang didakwa sebagai pemilik premis. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.