Home Politik Najib mahu Azmin jawab ‘soalan bocor’ sebelum debat

Najib mahu Azmin jawab ‘soalan bocor’ sebelum debat

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas Ceramah Umum PN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Markas PAS Kawasan Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Najib Razak mahu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu menjawab terlebih dahulu berhubung isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebelum berdebat dengannya.

Menyifatkan ia adalah soalan bocor, bekas perdana menteri itu berkata, jawapan itu penting bagi membuktikan sama ada benar atau sebaliknya Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu melunaskan hutang peneroka Felda.

Antara soalan itu ialah, adakah benar 50 peratus pokok sawit tua merupakan masalah besar yang dihadapi oleh Felda semasa beliau menjadi perdana menteri.

Betulkah jika tidak dicari penyenaraian melalui FGV Holdings, dalam masa 15 tahun akan datang Felda tidak akan wujud lagi.

“Ini kerana dana kerajaan (kepada Felda) telah dibatalkan, sebab itu melalui penyenaraian FGV ini kita dapat tanam semula 10,000 hektar tiap-tiap tahun. Betul tak masalah pokok tua telah diselesaikan?,” soal Najib.

Soalan seterusnya, benarkah Kerajaan BN memberi dana kepada Felda agar kesejahteraan hidup peneroka sentiasa dijamin sepanjang masa.

“Soalan ketiga, adakah dalam soal Eagle High Plantation ini kita beli 37% saham syarikat itu satu kawasan seluas tiga kali ganda besar dari Singapura. Sebab apa? Sebab kita mahu Felda menjadi Economy Power House dari bidang ekonomi hingga persada antarabangsa.

“Hendak kembangkan di Malaysia sudah tidak ada tanah. Jadi kita kita ke Kalimantan kerana kawasan luas. Kalau kita tidak mahu menyertainya, FGV ada pull option (pilihan menarik diri). Bila ada pull option boleh beli balik dengan kadar faedah 6% tiap tahun. Yang untung siapa? Maknanya kepentingan Felda terjamin.

“Jadi janganlah kata kerana Eagle High kita rugi, musnahkan Felda. Dengan harga (sawit) yang tinggi sekarang, rugi kita jual balik. Eagle High seronok la kalau kita jual balik kerana ia boleh beli balik,” katanya.

Soalan lain yang perlu dijawab termasuk perjanjian yang perlu ditandatangani oleh peneroka.

Mengulas kenyataan Muhyiddin yang menjaja beliau menghapuskan hutang peneroka Felda, Najib berkata, sebenarnya hutang peneroka diselesaikan atas perjuangan Kerajaan BN.

Katanya, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional itu bukan melunaskan hutang peneroka tetapi memindahkan hutang kepada Felda.

“Dia buat kebetulan dia menjadi perdana menteri, itu pun atas sokongan kita, 37 ahli Parlimen kita sign, dia jadi perdana menteri.

“Kalau benar Muhyiddin hendak tolong Felda, hutang yang berbilion-bilion yang dijual oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional bayar hutang Felda, jadi Felda tak ada hutang. Itu cara nak tolong Felda.

“Ini pindah pada Felda, cakap aku perjuangkan untung nasib Felda. Ini tipu tuan-tuan, jangan termakan dengan cerita tipu ini.,” katanya.

Semalam dalam ceramahnya, Azmin mendakwa Muhyiddin adalah individu yang menyelamatkan Felda. – MalaysiaGazette