KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih perlu melakukan usaha dan tindakan selanjutnya untuk mengurangkan isu beg sekolah berat untuk jangka panjang kerana tujuh strategi yang dilaksanakan hanya dapat menyelesaikan isu beg sekolah berat dalam jangka pendek.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, semakan kurikulum perlu dilaksanakan kerana faktor utama yang menyumbang kepada beg sekolah berat ini adalah bilangan mata pelajaran yang masih banyak dan silibus setiap mata pelajaran yang juga padat.
Beliau menyifatkan keputusan KPM hari ini menunjukkan suara rakyat khususnya ibu bapa telah diambil perhatian sewajarnya oleh kementerian itu.
”Tujuh strategi yang disenaraikan oleh KPM ini sekurang kurangnya dapat menyelesaikan isu beg sekolah berat dalam jangka pendek,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hasil tuntutan berterusan oleh ibubapa, NGO dan masyarakat supaya isu beg sekolah berat diselesaikan, KPM telah bersetuju dan mengumumkan tujuh strategi.
Tujuh strategi ini adalah hasil cadangan dari berbagai pihak diyakini akan dapat mengurangkan isu beg sekolah berat khususnya strategi penyediaan loker (untuk sekolah dua sesi) dan membenarkan buku disimpan di dalam laci meja (sekolah satu sesi) untuk anak-anak tahap satu.
Anuar berkata, sebagai pemerhati sistem pendidikan negara, beliau menyambut baik keputusan KPM dan mengucapkan tahniah kepada Menteri Kanan Pendidikan kerana bersedia mendengar pandangan rakyat dan mengambil tindakan susulan untuk isu ini.
Begitu juga dengan strategi penggunaan buku teks digital, menghadkan bilangan dan jumlah muka buku latihan serta penyelarasan pakaian sekolah untuk kelas di bawah JAKIM.
Yang menariknya, keputusan KPM untuk mengurangkan bilangan waktu mata pelajaran dalam jadual harian.
Dengan arahan KPM yang menghadkan hanya tiga hingga empat sahaja mata pelajaran setiap hari, bilangan buku teks dan buku latihan yang dibawa oleh murid-murid setiap hari dapat dikurangkan secara siknifikan. Ini satu keputusan yang baik dan tepat. – MalaysiaGazette