KUALA LUMPUR – Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui taktikal Penang FC untuk ‘meletakkan bas’ atau pun bermain secara bertahan ketika menentang skuad Harimau Selatan bukan satu ‘kesalahan’.
Namun apa yang dikesalkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor itu adalah pendekatan pasukan Harimau Kumbang yang dilihat terlalu banyak ‘membazirkan’ masa dan perkara itu adalah sesuatu yang sukar untuk diterima.
Malah, Tunku Ismail turut bersimpati dengan penyokong yang datang menyaksikan perlawanan bola sepak yang ‘dihidangkan’ dengan ‘drama’ penjaga gol terlantar kesakitan selepas menyelamatkan percubaan pasukan lawan.
“Parking bas ok. Tetapi time wasting teruk. Bayangkan stats (statistik) menunjukan kami hanya bermain 46 minit sahaja. Yang lain setiap sepuluh tujuh minit jatuh.
“Apabila coach kami tanya foreign player Penang, mereka cakap coach punya instruction. Mulai dari minit ke 5 hingga habis. Kesian penyokong yang datang untuk menyaksikan bolasepak,” kata Tunku Ismail menerusi laman Instagramnya.
Selepas perlawanan kedua-dua pasukan itu pada Sabtu lalu, pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui dia kurang gemar dengan penampilan lawannya itu yang mengamalkan corak ‘berkampung’ di kawasan sendiri manakala pemain sering terbaring di padang.
Mora juga agak sedih dengan penampilan skuad kendalian Tomas Trucha yang sepatutnya mengamalkan corak permainan terbuka dan bukannya melihat pemain kerap terbaring di padang selain mempraktikkan permainan ‘parkir bas’.
Bagaimanapun Trucha menafikan sengaja melewatkan permainan apabila kerap terbaring di padang apabila menjelaskan situasi itu berlaku atas faktor kecergasan yang belum berada pada tahap memuaskan namun mereka tetap meneruskan permainan. – MalaysiaGazette