Home Politik Isu dalaman UMNO bukan untuk perbahasan di Dewan Rakyat

Isu dalaman UMNO bukan untuk perbahasan di Dewan Rakyat

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan) bergambar kenangan dengan calon Barisan Nasional (BN) N.15 Maharani, Noor Farah Samsudin (tengah) serta barisan kepimpinan BN pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Parit Keroma, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 MAC 2022.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan) bergambar kenangan dengan calon Barisan Nasional (BN) N.15 Maharani, Noor Farah Samsudin (tengah) serta barisan kepimpinan BN pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Parit Keroma, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 MAC 2022.

MUAR – Isu dalaman UMNO tidak seharusnya menjadi topik perbahasan umum walaupun di Dewan Rakyat, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

”Biarpun seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai kekebalan untuk bercakap pelbagai isu di Dewan Rakyat tapi pada pandangan saya isu dalaman parti tidak patut dijadikan sebagai bahan perbahasan ketika memperbahaskan Titah Diraja.

”Pentas yang paling sesuai adalah Majlis Tertinggi kerana Tajuddin adalah ahlinya,” jawab Presiden UMNO itu ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak baru-baru ini.

Tajuddin membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menekan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mendesak pilihan raya umum disegerakan.

Ahmad Zahid berkata beliau meraikan perbezaan pendapat dalam parti namun pendirian yang telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu dihormati semua ahli khususnya ahli MT.

“Kita boleh berbeza pendapat tapi di dalam mesyuarat dan biarpun saya menghormati pandangan peribadi tetapi pendirian parti harus dihormati, parti belum buat pendirian dan tentunya pendirian ini akan dibincangkan pada waktu yang sesuai.

“Perbahasan itu boleh dikemukakan terutamanya jutucakap-jurucakap negeri yang akan mewakili perhubungan masing-masing ketika Perhimpunan Agung UMNO,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin BN itu akan berjaya mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor biarpun berdepan serangan bertubi-tubi dilemparkan pihak lawan.

“Kita yakin kebijaksanaan pengundi di Johor yang tidak akan terpengaruh lagi dengan tipu daya dan janji-janji manifesto dan juga fitnah yang telah dilontarkan kepada kepimpinan BN ketika ini.

“Namun suasana di Johor ini berbeza, Datuk Hasni Mohammad tidak ada isu-isu kredibiliti, selain prestasi beliau yang terbaik dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam sidang media selepas program ceramah umum BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Keroma, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid lagi, sandaran itu diyakinkan lagi dengan sokongan yang ditunjukkan selama sembilan hari berkempen.

“Faktor ini positif dan tidak over confident. Kita dengan penuh yakin dapat membentuk kerajaan jika sokongan ini berkekalan dan berterusan daripada pengundi,” katanya. – MalaysiaGazette