MUAR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi bukti kepada parti yang disifatkan sebagai ‘itik patah kaki’, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, tarikh 12 Mac nanti akan turut menjadi penentu kepada nasib parti yang pernah bekerjasama dengan UMNO pada suatu masa dulu.
“Bila satu jari ini menuding ke arah orang, empat jari tuding ke arah kita. Itulah yang pak lebai tu tak tahu kata kita itik patah kaki lah.
“… yang kata kita begitu sama ada itik patah kaki atau inilah penghujung dan akhir hayat parti kita, kita buktikan 12 Mac nanti.
“Siapa itik patah kaki, siapa penghujung hayat? Nak sindir, sindirlah,” tempelak Ahmad Zahid dalam ceramah umum di hadapan penyokong-penyokong BN di Pusat Daerah Mengundi (PDN) DUN Maharani, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali; Ketua Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh; dan bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini pernah menggelar UMNO seperti ‘itik patah kaki’ dan parti yang sudah ‘lumpuh’ dan berpenyakit kerana sudah terlalu lama memerintah.
Tambah Ahmad Zahid, sekiranya beliau di tempat Abdul Hadi sebagai seorang guru agama beliau tidak akan pernah bercakap dan mengkritik parti lain sedemikian.
“Kalau saya jadi guru agama, saya akan bersikap sebagai guru agama walaupun saya politik. Gunakan bahasa berakhlak, cara tasawuf.
“Berbeza pendapat boleh tapi ada adab, ada adab untuk menangani perbezaan pendapat. Ini hentam saja, bila kita jawab dia kata kita kurang ajar, eh dia kurang ajar lebih daripada itu.
“UMNO dan BN bukan kurang ajar, kita hormat orang lain, kita beza pendapat tetapi kita ada batas-batas untuk menghormati perbezaan,” tegas Presdien UMNO itu lagi.
Mengulas lanjut, Johor pernah menjadi negeri simpanan tetap UMNO dan perkara itu tidak mustahil berlaku pada PRN kali ini.
“Oleh yang demikian, isu-isu yang timbul di luar sama ada parti-parti yang bertanding berapa penjuru sekali pun itu biasa.
“Isu yang pelbagai tak apa, tetapi UMNO tidak pernah memburukkan yang lain. Kita cerita yang baik tentang diri kita, tak perlu cerita buruk tentang orang lain tapi jangan sentuh kita, kita wajib jawab.
“Ini maruah UMNO, maruah BN. Jangan ingat dia bercakap kita jadi budak bodoh. Kita mesti jawab, jawab dengan akhlak dan adab,” katanya.
Untuk rekod, Abdul Hadi pada 28 Januari lalu mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.
Malah pada 5 Mac lalu, Ahli Parlimen Marang itu turut menyebut UMNO dan BN kini diibaratkan sudah ‘lumpuh’ sebaliknya rakyat Johor diseru untuk memilih Perikatan Nasional (PN).
Kata beliau lagi UMNO dan BN yang tumbang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) perlu direhatkan kerana ditimpa pelbagai penyakit disebabkan terlalu lama memerintah negara. – MalaysiaGazette