Home Politik Alwiyah tenang Laili keluar Bersatu

Alwiyah tenang Laili keluar Bersatu

Alwiyah Talib

MERSING – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib tidak terkesan sedikitpun dengan tindakan ketua bahagian, Laili Yusof keluar parti untuk menyertai UMNO.

“Tumpuan saya bertemu rakyat sebagaimana yang saya lakukan ketika menjadi wakil rakyat dan saya tidak nampak apa-apa kesan pun kerana kempen tetap berjalan seperti biasa.

“Malah ramai juga yang simpati dengan saya kerana diperlakukan begini oleh ketua bahagian namun saya perlu memandang kehadapan lebih-lebih lagi saya masih ada tanggungjawab yang belum diselesaikan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Alwiyah, melihat pada sokongan yang diberikan rakyat terhadapnya, dia makin bersemangat untuk berkempen bagi memastikan jawatan disandang dapat dikekalkan.

“Bohonglah kalau kata saya tak terkejut dengan tindakan Laili tetapi itu semua telah menjadi asam garam saya dalam dunia politik.

“Berbekalkan pengalaman yang ada disertai dengan sokongan kawan-kawan, saya lebih yakin untuk bergerak bertemu rakyat dan saya akan ‘bertarung’ dengan musuh dalam suasana yang sihat,” ujar Alwiyah.

Petang kelmarin, Laili membuat keputusan untuk tinggakan Bersatu dan menyertai UMNO selepas sudah tidak percaya dengan pucuk pimpinan parti yang disifatkan tiada hala tuju. – MalaysiaGazette