JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda DAP, (DAPSY), Howard Lee Chuan How secara terbuka memohon maaf kepada ahli-ahli, penyokong dan sesetengah pemimpin UMNO selepas menggelarkan UMNO celaka baru-baru ini.
Dalam program Johor Memilih MalaysiaGazette, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji mengakui istilah yang digunakan itu agak kasar walaupun ada asasnya untuk sesetengah pihak.
“Saya harus mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada ahli, penyokong, pengundi dan sesetengah pemimpin UMNO.
“Mohon maaf ini tanpa berbelah bahagi kepada penyokong, ahli dan sesetengah kepimpinan UMNO atas kekasaran saya,” katanya.
Perkataan itu dilemparkan Howard pada ceramah Pakatan Harapan (PH) pada 28 Februari lalu yang disiarkan dalam talian di Facebook Johorkini.
Dalam ceramah itu, Howard mengulas berkaitan peralihan kuasa di beberapa negeri selepas kemenangan PH.
”Akhirnya satu demi satu pusat tumbang, satu demi satu depa rampas, tak cukup nak memusatkan kuasa kepada UMNO. UMNO mengambil langkah, mengorak langkah yang jahat, keji, celaka, kasar sikitlah, tapi memang celaka. Sekarang Johor terpaksa buat ini (PRN),” kata Howard.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berdepan dengan Howard ketika permohonan itu dibuat.
Menurut beliau, perkataan celaka bagi orang Melayu cukup sensitif.
”Keterlanjuran orang muda itu adalah biasa tapi kesediaan Howard untuk meminta maaf adalah jiwa yang besar. Dan, keterbukaan meminta maaf itu satu budaya yang perlu diterapkan,” kata Asyraf.
Nasihat Ketua Pemuda UMNO, sebagai pemimpin generasi baharu perlu melakar politik dengan membina dan membahas polisi seperti yang didambakan oleh golongan muda.
“Kita orang muda perlu tinggalkan politik lama dan kuno, bergerak kepada politik baharu, berhujahlah berdasarkan fakta, bukan memainkan sentimen kebencian dan amarah semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Menasabah ke kata celaka pada UMNO kata itek pun dia marah . Tak apa lah minta maaf mujur dan celaka itu nasib takdir dari Azalli