KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi meneliti prosedur standard operasi (SOP) selepas dua anggotanya meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal semalam.
Punca kejadian masih dalam siasatan polis.
TLDM berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk siasatan punca kejadian tersebut.
“Sekiranya terdapat pelanggaran SOP, TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi individu yang melanggar prosedur semasa melaksanakan tugas,” kata TLDM dalam kenyataan itu.
Dalam kejadian semalam, dua anggotanya, Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak semasa menjalani latihan fizikal.
TLDM berkata, dua anggota itu mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum muntah dan sesak nafas.
Kedua-duanya telah diberi rawatan awal sementara petugas paramedik tiba yang kemudian mengesahkan kematian mereka pada pukul 3.15 perang.
TLDM berkata, pemeriksaan awal doktor mendapati kedua-dua anggota itu tidak ada sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal. – MalaysiaGazette