KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin membidas Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersyukur Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahli Parlimen Kinabatangan itu menegaskan, selain bersyukur, Muhyiddin juga bercakap soal integriti yang dibentuknya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas menjatuhkan kerajaan yang turut disertai beliau, Pakatan Harapan (PH).
“Tadi saya dengar ada orang bersyukur BN kalah, tetapi selepas BN kalah, orang yang sama juga memerintah dalam PH.
“Sepanjang dalam PH, dia (Muhyiddin) tak buat apa-apa, bahkan dia rosakkan ekonomi negara, dia rosakkan perpaduan kaum, provokasi melampau.
“Selepas itu, 22 bulan kemudian dia hancurkan kerajaan dia, apa yang berlaku? Cakap soal integriti, (diri) sendiri tidak berintegriti,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, petang ini.
Ketika perbahasan sesi petang tadi, Muhyiddin berkata, nasib baik BN kalah dalam PRU14 dan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tidak lagi menjadi Perdana Menteri, maka kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.
Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan pasukan petugas khas itu untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang berkenaan dan aset 1MDB yang disorok di negara asing.
Katanya, kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan, apa lagi kesnya yang terkenal seanterio dunia, yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global.
Menjawab kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak setuju kerajaan menganugerahkan hadiah kepada bekas-bekas Perdana Menteri, Bung Moktar mempersoalkan siapa yang membiayai Yayasan Perdana.
“Siapa yang membiayai Yayasan Perdana ini? Sebelum ini, Dr. Mahathir ada mengumumkan Yayasan Perdana adalah untuk bekas Perdana Menteri.
“Saya nak tanya, apakah dia ada undang Perdana Menteri kelima, keenam dan kelapan duduk di Yayasan Perdana ini?
“Sebab saya nampak hanya Perdana Menteri keempat dan ketujuh saja yang bermewah-mewah dalam Yayasan Perdana. Siapa yang membiayainya? Adakah kerajaan atau dia sendiri?,” soalnya. – MalaysiaGazette