JOHOR BAHRU – Tekad MUDA iaitu manifesto yang ditampilkan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan bertentangan dengan Tawaran Pakatan Harapan (PH).
Menurut Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abdul Aziz, semangat yang ditampilkan dalam manifesto MUDA dan PH adalah sama.
“Apa yang penting kami mahu manifesto ini boleh memberikan harapan yang terbaik buat rakyat dan pada masa yang sama wujudnya intergriti kepimpinan.
“Antaranya pemberian peruntukan yang sama kepada semua ADUN, memastikan Enakman Anti Lompat Parti di Johor. Ini ada dalam manifesto PH dan MUDA.
“Pada akhirnya bila kita membentuk kerajaan, kami akan pastikan janji yang dibuat akan memberikan manfaat kepada rakyat,” kata Amira Aisya.
Jelas Amira Aisya, jika calon MUDA menang mereka akan membentuk kerajaan bersama-sama dengan PH dan segala pelaksanaan manifesto akan dilakukan secara perbincangan antara kedua-dua rakan strategik itu.
Menurutnya, perbicangan PH dan MUDA akan memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak dan keputusan yang dicapai akan memberikan manfaat kepada rakyat.
“Bila MUDA menyertai pilihan raya ini, hadir bersama adalah semangat untuk bekerjasama dengan rakan strategik Pakatan Harapan.
“Bila bercakap dengan kerjasama strategik dengan PH jelas sekali kita ingin membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan.
“Manifesto yang kami lancarkan ini dan manifesto yang dilancarkan oleh PH sebelum ini tidak ada yang bertentangan,” kata calon MUDA DUN Puteri Wangsa itu.
Tekad Muda dilancarkan hari ini di Pusat Khidmat MUDA Puteri Wangsa. Majlis tersebut dihadiri enam daripada tujuh calon MUDA yang bertanding.
Sementara Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai secara maya kerana sedang berada di ibu negara bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Manifesto itu berlandaskan lima teras dibuat dengan rapi, bersandarkan kepada suara rakyat Johor bagi mengangkat kepentingan masa hadapan negeri Johor.
Lima tekad tersebut adalah Kepimpinan Bertenaga dan Pantas, Mengamalkan Demokrasi Pro Rakyat, Membela Golongan Pertengahan (M40), Merapatkan Jurang Kelas Masyarakat dan Kemajuan Ekonomi Untuk Semua.-MalaysiaGazette