KUALA LUMPUR – MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCV) yang dipertanggungjawabkan program Kembara RIUH menyerahkan kepada polis hasil siasatan berhubung video tular sekumpulan pengunjung program “RIUH EK!” tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Program itu berlangsung di Ayer Hitam, Johor,
Sebagai agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang dipertanggungjawabkan ke atas program Kembara RIUH, MyCV memandang serius insiden tersebut kerana arahan jelas kepada syarikat pengurus acara agar SOP ini dipatuhi sepenuhnya.
Jelasnya, insiden malam tersebut berlaku secara spontan oleh pengunjung dan bukanlah sebahagian daripada atur cara pihak penganjur.
Bagaimanapun pihak penganjur bersama pasukan RELA telah mengambil tindakan segera dengan meleraikan mereka yang terlibat dan meminta mereka beredar dengan serta-merta agar SOP dipatuhi.
Katanya, insiden tersebut juga berlaku selepas majlis telah berakhir dan menteri telah meninggalkan majlis.
”Polis telah pun menghubungi dan mengambil keterangan pihak penganjur di mana kerjasama sepenuhnya telah diberi bagi membantu melancarkan siasatan.
”Pihak MyCV menyerahkan kepada pihak polis bagi menentukan hasil siasatan,” katanya.
Susulan insiden ini, MyCV memohon maaf dan akan memastikan insiden ini tidak akan berulang di masa hadapan. – MalaysiaGazette