Home Politik Calon Pejuang Bukit Kepong tak gentar berdepan dua bekas ADUN

Calon Pejuang Bukit Kepong tak gentar berdepan dua bekas ADUN

Calon Pejuang N.07 Bukit Kepong, Md. Taib Md Suhut (kanan) menyantuni penduduk orang asli bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2022.

PAGOH – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) N07 Bukit Kepong, Md Taib Md Suhut sama sekali tidak berasa tergugat untuk berdepan dengan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon berusia 60 tahun itu juga kekal optimis dengan peluang yang dimiliki olehnya bagi merebut kerusi DUN Bukit Kepong pada 12 Mac ini.

Menurut Md Taib, Pejuang meletakkannya sebagai calon supaya beliau dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya serta terus berjuang demi parti.

Calon Pejuang N.07 Bukit Kepong, Md. Taib Md Suhut. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2022.

“Saya sudah berumur 60 tahun, rasa gentar itu memang tidak ada kerana saya hanya jalankan tanggungjawab apabila Pejuang meletakkan saya sebagai calon di Bukit Kepong.

“Oleh sebab itu saya akan terus berjuang dan cuba menyelesaikan apa sahaja masalah yang ada selain mengelak daripada menuduh mana-mana parti tidak menjalankan kerja sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, Md Taib meluangkan masa lebih sejam bagi menyantuni masyarakat orang asli dari suku jakun di Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Bukit Kepong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md Taib berkata, sekiranya diangkat sebagai ADUN di kawasan berkenaan, beliau mahu menyelesaikan isu berbangkit dan masalah tergendala yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir.

“Saya akan cuba menyelesaikan isu-isu berbangkit yang kerajaan dahulu tidak berjaya selesaikan selain menyentuh berkaitan pendidikan dan kemudahan di sekolah selain bagaimana cara untuk menjana ekonomi bagi suri rumah,” ujarnya.

Tambah Md Taib lagi, beliau juga mahu memberi perhatian terhadap masyarakat orang asli yang disifatkan sebagai sering terpinggir dari arus kemajuan dan kemodenan.

“Apa yang dinikmati oleh semua orang harus sama diterima oleh masyarakat orang asli di semua kawasan,” katanya.

Pada PRN Johor, DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan antara Md Taib dengan dua bekas ADUN iaitu bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (Perikatan Nasional) dan bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed (Barisan Nasional) serta seorang calon wanita dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Afiqah Zulkifli. – MalaysiaGazette