Home Nasional 50 peratus rumah PR1MA dibeli golongan belia

50 peratus rumah PR1MA dibeli golongan belia

Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaporan Kluster Perumahan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan pelaksanaan kira-kira 500,000 rumah mampu milik dapat dicapai pada tahun 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, strategi pelaksanaan itu akan melibatkan kementeriannya sebagai penyelaras utama termasuk agensi persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Kata beliau, program rumah mampu milik di bawah kawal seliaan KPKT sememangnya terbuka kepada golongan B40 dan M40 termasuk di kalangan muda.

“Sehingga kini terdapat 154 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang siap dibina melibatkan 97,196 unit kediaman di seluruh negara.

“Bagi tahun 2022 pula, sebanyak tujuh PPR dirancang dibina di seluruh negara melibatkan 2,770 unit kediaman,” katanya di Parlimen hari ini.

Reezal Merican berkata, pada masa sama kerajaan komited untuk meneruskan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Kata beliau, program RMR itu terbukti memberi manfaat perumahan khusus kepada golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang memberi kebenaran.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 50,078 unit RMR telahpun siap dibina di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan program perumahan sedia ada bagi golongan M40 melalui program rumah mampu milik dengan harga jualan RM300,000 dan ke bawah.

Mengenai sambutan golongan muda ke atas projek perumahan PR1MA secara keseluruhannya sehingga Disember 2021, sebanyak 50 peratus iaitu 17,543 pembeli adalah golongan muda berusia 25 hingga 35 tahun.

“Bagi 2021 sahaja sebanyak 34 peratus pembeli kediaman PR1MA iaitu 1,904 daripada 5,626 adalah mereka berusia 25 hingga 35 tahun.

“Ini sekali gus menunjukkan harga jualan yang ditawarkan oleh PR1MA menjadi kegemaran di kalangan anak muda,” katanya. – MalaysiaGazette