Home Utama SPRM hanya saring calon parti politik – Dzulkifli

SPRM hanya saring calon parti politik – Dzulkifli

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad bersama penerjun selepas menyerahkan bendera SPRM, Jalur Gemilang dan Wilayah Persekutuan pada perasmian penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR17) di Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat untuk menyaring ahli keluarga kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) daripada unsur-unsur jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, buat masa ini pihaknya hanya akan menyaring calon-calon parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Buat masa ini kita akan melihat kepada calon dahulu (parti), ini bukan siasatan tapi saringan sahaja. Hasil saringan itu kita akan maklumkan kepada parti masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR 17) di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan BN sudah menghantar senarai bakal calon PRU14 kepada SPRM bagi tujuan saringan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun Najib berkata, senarai calon itu hanya disahkan layak bertanding berdasarkan saringan yang dibuat SPRM.

Dzulkifli berkata, pihaknya tidak mahu mendedahkan cadangan tindakan yang bakal dikemukakan kepada parti-parti politik dan ia terserah kepada kepimpinan parti.

“Ini rahsia, tak boleh beritahu kepada orang ramai apa cadangan kita kepada parti, kerana ini bukan siasatan tapi saringan semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette