KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi sokongan penuh sekiranya benar saingan Liga Super musim depan akan disertai 18 pasukan.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berpendapat, sistem baharu itu boleh meningkatkan nilai komersial pasukan.
“Saya menyokong 100 peratus langkah MFL (Liga Bolasepak Malaysia) memperkenalkan sistem terbaharu satu liga menampilkan 18 pasukan pada tahun depan.
“Secara tak langsung meninggikan nilai komersial pasukan. Penaja pun suka perkara ini. Tq (terima kasih) MFL,FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” tulis Zamsaham di laman Facebooknya.
Terdahulu, salah satu portal bola sepak melaporkan liga musim depan akan berwajah baharu apabila didakwa akan menampilkan 18 pasukan dengan Liga Perdana dikatakan akan dimansuhkan.
Bagaimanapun belum ada sebarang kenyataan rasmi atau pengesahan daripada MFL selaku pengelola Liga Malaysia (Liga M) mengenai perkara itu.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam penjelasan kepada media enggan mengulas lanjut mengenai laporan portal berkenaan.
“Tiada komen. Kita akan kendalikan perkara itu selepas ini dengan pihak terbabit,” katanya.
Untuk rekod, bagi musim ini saingan Liga Super menampilkan 12 pasukan bertanding manakala Liga Perdana yang juga liga kedua disertai 10 pasukan. – MalaysiaGazette