Home PRN Johor SAJ janji beri bantuan kepada keluarga daif

SAJ janji beri bantuan kepada keluarga daif

Tuan Zurainah dan Ahmad di rumah mereka di Lintang 2, Kampung Separap, Batu Pahat

BATU PAHAT – Kedaifan hidup yang dialami sebuah keluarga miskin di Lintang 2, Kampung Separap, Jalan Simpang Lima di sini mendapat perhatian Syarikat Air Johor (SAJ).

Respon mengenai perkara tersebut diberi perhatian oleh syarikat pembekal air di Johor itu selepas laporan mengenainya diterbitkan portal ini.

Pengurus Agensi Ranhill SAJ, Mohd Azmi Ismail berkata, pihaknya telah mengunjungi keluarga tersebut hari ini bagi melihat permasalahan yang dihadapi mereka.

Beliau tidak menyangka masih terdapat lagi golongan yang belum menerima bekalan air bersih meskipun di semua kawasan di negeri ini telah mendapat kemudahan itu dengan sempurna.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan SAJ akan membantu mengikut keperluan yang sesuai.

“Saya sendiri telah bertemu dengan keluarga itu dan melihat keadaan hidup mereka.

“Kita meninjau sama ada terdapat sistem penyambungan paip air ke rumah tersebut dan proses untuk membantu kelaurga berkenaan akan dibincangkan di dalam mesyuarat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohd Azmi, pihaknya juga akan cuba memberikan bantuan-bantuan lain menerusi Program Tanggungjawab Korporat (CSR) sebagai menampung keperluan semasa keluarga berkenaan.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan kesempitan hidup dialami enam sekeluarga yang hidup dalam keadaan serba daif akibat terhimpit dengan kemiskinan.

Mereka tinggal di rumah usang peninggalan bapa mereka di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.

Keluarga daif itu hanya menggunakan air tadahan hujan untuk kegunaan harian selepas tidak ada penyambungan paip air bersih ke rumah mereka.

Bertindak di atas laporan tersebut, SAJ hari ini mengambil tanggungjawab meninjau permasalahan keluarga itu.

Sementara itu, salah seorang daripada keluarga berkenaan Tuan Zurainah Tuan Hussin, 40, memberitahu, mereka ada dikunjungi pihak berkenaan pagi tadi.

Katanya, ketika ini hanya SAJ sahaja yang datang mengunjungi mereka bertanya khabar selain berjanji mahu menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, ada juga yang sudi untuk mengambil tahu tentang hidup kami di sini. Kami tidak mengharapkan bantuan yang besar asalkan dapat menikmati sedikit kesempurnaan hidup sebagaimana yang dirasai oleh orang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Enam sekeluarga rayu bantuan untuk teruskan hidup