JOHOR BAHRU – Rakyat Johor menolak Pas bukan kerana politik Islam tetapi disebabkan kejumudan parti itu.
Selain itu, Pas yang menunggang agama, bukan Islam yang syumul, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sedangkan, politik Islam pada rakyat Johor ialah Johor Islami yang memacu kemajuan dan Islam yang mengajak warga Johor berlumba-lumba melakukan amal soleh.
Bukan politik Islam dengan masjid imam dua imam, fatwa kafir mengkafir and segala kejatuhan talak jika tidak menyokong Pas.
”Yang pasti Johor bukan negeri paling ramai orang miskin di Malaysia seperti Kelantan. ‘Yang nyata, pembangunan Johor dipacu pelaburan asing, perdagangan, ekonomi rentas sempadan dan pelbagai nilai yang progresif.
”Bukan negeri tanpa bekalan air bersih, rakyat berhijrah keluar kerana tiada pekerjaan dan kerajaan diurus dengan wang ehsan. Dan bila dapat sahaja wang ehsan, keutamaan politik Islam Pas ialah “Mercedes” untuk Exco,” sindirnya.
Tegas Khaled, orang Melayu akan terus mundur jika politik Islam Pas jadi pilihan kerana parti itu bukan menghidupkan Islam, tetapi mencari kehidupan, kemewahan dan jawatan dengan Islam. – MalaysiaGazette