Home Politik Najib akui saingan sengit BN di DUN Gambir

Najib akui saingan sengit BN di DUN Gambir

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bersama calon Barisan Nasional (BN) N.09 Gambir, Sahrihan Jani (kanan) melaungkan 'Hidup BN' ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

TANGKAK – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan sengit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir – kubu kuat Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Najib berkata, walaupun sambutan pengundi kepada BN amat baik namun perkara itu perlu diberikan tumpuan lebih daripada jentera BN.

“Sambutan alhamdulillah. Tetapi memang saingan sengit.

“Jawapan saya sama kita tumpukan kepada kerja. Selepas itu kita tengok keputusan,” katanya kepada media dalam program turun padang di kawasan DUN Gambir bersama calon Barisan Nasional (BN(, Sahrihan Jani.

Justeru itu, Najib mahu gelombang ‘Bossku’ yang dibawanya diterjemahkan dalam undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

Bagaimanapun menurut Najib, dirinya tidak mahu BN khususnya jentera parti berasa selesa sebaliknya perlu menumpukan kepada gerak kerja dalam tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi.

“Kita kena tumpu kepada kerja, kita mesti serius dan jangan selesa, kita ada beberapa hari lagi untuk buat kerja bersungguh-sungguh.

“Kalau buat kerja sungguh-sungguh dan tertib dengan semangat perpaduan…insya-Allah berjaya,” katanya

Ditanya mengenai sama ada BN mampu menumbangkan kubu kuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN di Pagoh itu, Najib optimis terhadap kemungkinan itu walaupun mengakui berdepan saingan sengit.

“Sambutan baik tapi memang saingan sengit, kita tumpu kepada kerja dan lepas itu kita tengok keputusan,” jelas Najib lagi. – MalaysiaGazette