Home Politik PRN Johor: Warisan lebih berminat jadi pembangkang – Shafie

PRN Johor: Warisan lebih berminat jadi pembangkang – Shafie

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

KLUANG – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu tidak berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti bagi  menubuhkan kerajaan negeri sekiranya berjaya menguasai beberapa kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Sebaliknya, Presiden Warisan itu mahu terus menjadi pembangkang bagi memperjuangkan kepentingan serta hak-hak rakyat serta menjadi ‘semak dan imbang’ di Johor selepas ini.

Jelas Mohd Shafie, calon-calon yang bertanding dalam parti Warisan juga bukan ‘biasa-biasa’ sebaliknya berpengalaman dengan isu-isu tempatan dan dekat dengan masyarakat.

”Kita masih lagi menerima pelawaan dari parti-parti politik sampai sekarang tapi kita tidak berminat.

“Matlamat kita hendak jadi pembangkang bagi ‘check and balance’ kerana kita tahu dan sedar ada banyak ketirisan di peringkat negara dan juga negeri, kerana itu juga kita perlu menjadi semak dan imbang.

“Bayangkan jika kemenangan untuk satu parti sahaja 100 peratus? Apakah yang akan terjadi? Kita sudah nampak pengalaman selama 60 tahun dahulu, langsung tidak ada ‘check and balance’.

“Kerana itu juga Warisan tampil untuk menjadi suara rakyat bagi memastikan adanya semak dan imbang ini. Itulah objektif dan matlamat kita, perjuangan untuk rakyat dan demi rakyat,” katanya kepada sekumpulan wartawan ketika program santai bersama calon DUN Mahkota di Kluang Station di sini hari ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir sesi santai bersama calon Warisan DUN Mahkota di Kluang Station hari ini.

Kata Shafie lagi, parti itu bertindak betul apabila bertanding secara solo.

“Siapa kata kami tidak beri peluang? Ketika pilihan raya di Sarawak, kita beri peluang. Ketika PRN di Melaka juga kita beri peluang. Tapi apa yang terjadi? Saya sendiri pernah tandatangan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kita lihat sendiri bagaimana PH sendiri ditolak oleh rakyat dalam dua PRN. Jadi apa maksudnya? Rakyat mahukan perubahan dan kini mereka juga menolak PH. Kerana itu kita tampil beri satu lagi platform kepada rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa. Malaysia ini milik semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shafie cukup yakin dengan momentum dan kempen oleh calon-calon Warisan yang mendapat respons positif.

Bagaimanapun kata beliau untuk memenangi kerusi oleh calon-calon Warisan bukanlah sesuatu yang mudah kerana Warisan masih baharu dan mereka perlu bekerja keras untuk dikenali rakyat.

“Saya rasa kita ada peluang, saya tidak dapat agak kerusi mana yang boleh menang, kita tidak boleh teka tetapi saya juga tahu rakyat mahukan perubahan yang akhirnya membawa kepada kebaikan untuk mereka.

”Ini bukan mudah tetapi pada masa sama, kita juga akan tahu tahap kita, PRN Johor ini adalah ujian buat kita hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kelak,” ujarnya.

Buat pertama kali bertanding di luar negeri asalnya, Warisan telah meletakkan enam calon pada PRN Johor kali ini.

Enam calon itu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas. – MalaysiaGazette