KOTA TINGGI – Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh secara sinis mendakwa gabungan Perikatan Nasional masih tidak boleh menentukan siapa yang layak menjadi calon Menteri Besar (MB) Johor jika parti tersebut berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Sedangkan, tarikh pengundian bagi PRN Johor semakin hampir.
Menurut Idris, PN sebenarnya sedang mengalami isu ketandusan calon untuk dinamakan sebagai MB Johor, sekali gus tiada calon sesuai yang bersedia untuk memegang jawatan tersebut.
“Dia (PN) tiada calon sebenarnya.. dan pada saya, tiada parti lain yang lebih hebat daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebab mereka ni memang tiada pemimpin yang berkaliber.
“Mereka ni.. duk ngok ngak sana sini tapi tak boleh buat apa pun” perli Idris ketika ditemubual di Dewan Besar Air Tawar 2, Kota Tinggi.
Sebelum ini, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ronald Kiandee, PN sudah mempunyai calon MB Johor.
Bagaimanapun enggan mendedahkan nama tersebut kerana pengumuman akan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Manakala Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memegang jawatan Setiausaha Agung PN, pada 4 Mac yang lepas berkata, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat esok bagi menentukan calon MB sekiranya gabungan tersebut berjaya memenangi PRN Johor. – MalaysiaGazette