KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur terus menurun kepada 680,400 orang mencatatkan kadar pengangguran 4.2 peratus pada Januari 2022, menurun 1.1 peratus berbanding bulan Disember 2021 sebanyak 687, 600 orang.
Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 4.2 peratus.
Manakala, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 15.69 juta orang (Disember 2021: 5.65 juta orang), mencatatkan nisbah guna tenaga kepada penduduk yang lebih tinggi iaitu 66.2 peratus pada Januari 2022.
Justeru, tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus mencatatkan 16.37 juta orang (Disember 2021: 16.34 juta orang), seterusnya membawa kepada peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh bulan Januari kepada 69.1 peratus (Disember 2021: 69.0%).
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, situasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022 berikutan kesemua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perniagaan terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan yang lebih panjang.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Januari, beliau berkata, daripada jumlah penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, mencatatkan penurunan
sebanyak 1.2 peratus kepada 569, 500 orang (Disember 2021: 576, 500orang).
Seterusnya, 56.3 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan manakala 7.5 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Bagi penganggur yang tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, berkurang sebanyak 0.2 peratus merekodkan 110, 900 orang (Disember 2021: 111, 100 orang).
Pada masa yang sama, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.5 mata peratus merekodkan 13.2 peratus pada Januari 2022.
Bilangan penganggur belia bagi kumpulan umur ini menurun sebanyak 0.9 peratus kepada 364, 500 orang (Disember 2021: 367, 700 orang).
Trend yang sama turut dilihat dalam kadar pengangguran bagi umur 15 hingga 30 tahun yang berkurang kepada 8.3 peratus, mencatatkan seramai 521, 800 orang penganggur (Disember 2021: 8.5%; 533.8 ribu orang).
Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, komposisi terbesar dalam penduduk bekerja adalah kategori pekerja yang merangkumi 76.7 peratus, merekodkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.03 juta orang (Disember 2021: 12.02 juta orang).
Begitu juga, kategori bekerja sendiri meningkat sebanyak 0.6 peratus mencatatkan 2.66 juta orang pada Januari 2022 (Disember 2021: 2.64 juta orang).
Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan yang berterusan terutamanya dalam aktiviti Perkhidmatan makanan & minuman, perdagangan borong & runcit; dan maklumat &
komunikasi.
Trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat.
Sebaliknya, guna tenaga dalam sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian berada pada trend yang menurun sejak lapan belas bulan yang lalu.
Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan luar tenaga buruh pada Januari 2022 terus menurun kepada 7.33 juta orang (Disember 2021: 7.34 juta orang).
Bersekolah/latihan merupakan sebab utama luar tenaga buruh dengan peratus sumbangan sebanyak 41.4 peratus, diikuti oleh kategori kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (41.3%).
Mengulas kedudukan tenaga buruh secara keseluruhan bagi tempoh yang akan datang, Mohd Uzir Mahidin berkata, prospek ekonomi yang lebih optimis dijangka pada bulan-bulan akan datang digambarkan oleh Indeks Pelopor yang melebihi 100.0 mata secara berterusan dan meningkat pada Disember 2021.
Prospek yang positif ini akan mendorong kepada peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan seterusnya akan mewujudkan lebih banyak permintaan buruh dalam ekonomi.
Kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan akan menggalakkan penyertaan buruh yang lebih ramai, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk menjadi lebih rancak pada bulan-bulan yang akan datang. – MalaysiaGazette