Home Politik Ada cubaan pujuk ahli Bersatu sertai UMNO – Abdul Halim

Ada cubaan pujuk ahli Bersatu sertai UMNO – Abdul Halim

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Abdul Halim Abu Bakar.

MERSING – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing mendakwa wujud usaha memujuk ahli parti berkenaan untuk keluar dan menyertai UMNO.

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Abdul Halim Abu Bakar berkata, pihaknya telah menerima aduan dari ahli jawatankuasa dan ahli-ahlinya terdapat usaha memujuk keluar parti secara beramai-ramai.

“Usaha ini dibuat oleh kumpulan bekas Ketua Bahagian Bersatu (Laili Yusof) yang didalangi oleh UMNO Bahagian Mersing.

“Ini merupakan langkah terdesak dan sudah tidak relevan dengan suasana politik sekarang yang mana pengundi sudah lebih bijak dan terbuka dalam membuat penilaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim menyeru semua pihak untuk kekal bersatu menepis persepsi dan mengenepikan segala isu dalaman parti bagi merapatkan saf dan berdoa agar kemelut politik berkenaan berakhir dengan segera.

Justeru katanya, pihaknya telah mendapat ketetapan daripada 15 orang ahli jawtaankuasa bahagian yang berpendirian teguh tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan untuk terus menyokong kepimpinannya selaku Pemangku Ketua Bahagian Bersatu demi memastikan kemenangan kepada kedua-dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan DUN Tenggaroh di bawah Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Johor kali ini.

Malah, katanya, dalam mesyuarat khas yang diadakan Selasa lalu, pihaknya berketetapan dan mengambil pendirian teguh menyokong PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. –  MalaysiaGazette