Home Nasional Perintah kuarantin untuk pengembara tamat 1 April ini – KJ

Perintah kuarantin untuk pengembara tamat 1 April ini – KJ

VTL KLIA
Pelancong dari Singapura tiba melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Udara di KLIA selepas kerajaan membenarkan kemasukan pelancong Singapura ke Malaysia bermula hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFFAN FAUZI, 28 NOVEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perintah kuarantin untuk pengembara yang memasuki negara akan tamat pada 1 April ini, kata Menteri Kesihatan.

Ketetapan itu juga terpakai kepada pengembara yang menjalani kuarantin sebelum tarikh tersebut, kata Khairy Jamaludin.

“Sebagai contoh, jika seseorang individu mula menjalani kuarantin pada 29 Mac, kuarantin tersebut akan tamat pada 1 April 2022,” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy berkata, individu yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada sejarah vaksinasi pula wajib menjalani kuarantin selama lima
hari selepas tiba di negara ini.

Dalam masa yang sama, tegas beliau, individu berkenaan tidak dibenarkan makan di restoran selepas selesai menjalani kuarantin.

“Selepas individu tersebut keluar dari kuarantin, individu tersebut mesti mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, tidak boleh dine-in di restoran kerana tidak menerima vaksinasi lengkap,” tambahnya.

Katanya lagi, pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan perlu memuat naik bukti pengecualian yang diberikan oleh pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai sama ada sahih atau tidak selepas penilaian dibuat disahkan sahih mereka akan dapat pengecualian,” katanya lagi.

Dalam pada itu Menteri Kesihatan berkata, kanak-kanak dan remaja 17 tahun dan ke bawah yang mengikuti ibu bapa ke luar negara tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin.

Sebaliknya kumpulan berkenaan perlu menjalani ujian Covid-19 RTK(Ag) dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, beliau memaklumkan, protokol pengembara sempadan darat akan diumum minggu depan kerana memerlukan lebih perincian bagi membezakan antara pengembara biasa dengan kumpulan yang berulang alik secara rutin.

“Untuk yang berulang alik dari Singapura, Thailand, Brunei setiap hari atau dalam seminggu tiga hingga empat kali agak susah kita nak minta buat PCR setiap kali datang. Saya sedang bincang perkara ini bukan hanya dengan negara jiran dan negeri yang ada ada sempadan darat untuk dapatkan persetujuan yang menjaga kepentingan kesihatan dan memudahkan perjalanan dalam masa yang sama,” tambah Khairy.- MalaysiaGazette