Home Politik Daripada sibuk pasal Hasni, lebih baik Wan Saiful cari calon MB PN...

Daripada sibuk pasal Hasni, lebih baik Wan Saiful cari calon MB PN – Shahrir

Shahrir Abdul Samad

JOHOR BAHRU – Dakwaan Datuk Mohd Puad Zakarshi melobi jawatan Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini hanya igauan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ini kerana, BN Johor sejak awal lagi sudah menamakan Datuk Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besar Johor.

Dan, keputusan yang dibuat itu sudah disemat ‘mati’.

Justeru, tidak timbul nama-nama lain selain Hasni, tegas Tan Sri Shahrir Samad yang ketawa sinis ketika diajukan dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, daripada Wan Saiful sibuk dengan urusan BN, adalah lebih baik beliau ‘mencari’ calon Menteri Besar Johor dari Perikatan Nasional (PN).

”Apa yang dia (Wan Saiful) dengki dengan Hasni. Tapi biarlah dia (Wan Saiful) bekerja kuat dalam beberapa hari ini sebelum kempen berakhir,” katanya sambil ketawa ketika berkunjung ke mini studio MalaysiaGazette di sini.

Tambah Shahrir, dakwaan Wan Saiful itu tidak ada asas langsung tetapi sekadar khayalannya, selain berusaha keras untuk memporakperandakan jentera BN menjelang hari-hari terakhir berkempen.

“BN tak hairanlah dengan dakwaan dia, kita lihat sahaja tingkah-laku pemimpin PN yang semakin sumbang,” jawabnya dengan ketawa bersisa.

Dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, Wan Saiful mendakwa, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi didakwa melobi jawatan menteri besar sekiranya BN menang.

Ini kerana Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempunyai kekuatan dan hubungan utuh bersama pimpinan parti itu berbanding Hasni.

Wan Saiful mendakwa, ketika ke Rengit baru-baru ini, beliau mendengar khabar bahawa Mohd Puad sudah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Hasni sekiranya UMNO menang.

Antara hujah digunakan adalah sebagai Ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Puad boleh membawa UMNO Johor lebih rapat dengan agenda Presiden UMNO berbanding Hasni.

Puad juga dakwa Wan Saiful sudah menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” tulisnya di Facebook. – MalaysiaGazette