KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin digesa mengadakan sesi taklimat bersama ahli-ahli Parlimen bagi menjelaskan cadangan mewujudkan Kad Warga Asing di Sabah.
Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee (Pakatan Harapan) berkata, cadangan berkenaan dilihat tidak jelas dan menimbulkan keraguan dalam kalangan warga tempatan di Sabah.
“Kad warga asing yang diumum menteri bulan lepas telah banyak menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk tempatan di Sabah kerana ia kurang telus dan tidak ada maklumat lanjut.
“Saya bersedia untuk menyokong skim tersebut jika menteri mampu menjawab beberapa soalan asas seperti siapa, bila, apa, mengapa, di mana dan bagaimana?
“Saya menyeru Menteri Dalam Negeri untuk membuat sesi taklimat bersama semua Ahli Parlimen sebelum pengumuman besar secara tergesa-gesa,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Pada Febuari lalu, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan untuk memperkenalkan Kad Warga Asing untuk diberikan kepada individu yang tiada dokumen pengenalan diri namun sudah lama menetap di Sabah.
Ujar beliau, kad berkenaan bukan pemberian kerakyatan namun ia bagi membantu boleh digunakan golongan berkenaan untuk mencari kerja di Sabah.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sandakan ketika mengulas lanjut berpendirian pemberian kad berkenaan tidak akan mengatasi kerakyatan di Sabah.
Menurut Vivian, kerajaan perlu mencari alternatif lain yang lebih relevan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Skim kad warga asing ini dilihat tidak akan menangani isu ribuan orang tanpa kerakyatan di Sabah, ramai anak-anak di Sabah tiada warganegara kerana kebanyakannya ibu bapa mereka tidak mendaftarkan perkahwinan dengan betul.
“Sekiranya kerajaan tidak bersedia memperakui golongan anak-anak ini kerajaan perlu tampil dengan isu alternatif yang lama menyusul ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette