Home Nasional Kerajaan teliti keperluan kaji semula harga siling Kit Ujian Antigen Covid-19

Kerajaan teliti keperluan kaji semula harga siling Kit Ujian Antigen Covid-19

Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, harga maksimum kit ujian telah ditetapkan pada RM19.90 di peringkat runcit dan RM16.00 di peringkat borong

“Dari aspek keberadaan bekalan di pasaran, kerajaan telah mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 ini sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021 yang lalu.

“Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan dan kepentingan pengguna terutama dari aspek kecukupan bekalan di pasaran serta mendapatkan harga pelitup muka dan kit ujan kendiri pada harga yang tidak membebankan.

“Sehubungan itu, penguatkuasaan, pemeriksaan dan pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa dilakukan ke atas item berkaitan di setiap peringkat seperti peringkat pengilang, pemborong dan peniaga bagi memastikan kedua-dua item ini sentiasa cukup dan mampu menampung permintaan yang agak tinggi sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Alexander berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tuan Cha Kee Chin (Rasah) berhubung apakah kementerian akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri, selain menetapkan harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu pada Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menjawab pertanyaan Tuan Cha Kee Chin (Rasah).

Beliau berkata, akses pengguna untuk mendapatkan kit ujian kendiri akan ditambah baik tanpa mengabaikan kepentingan aspek kesihatan dan keselamatan awam.

Ia dibuktikan melalui persetujuan bersama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Pihak Berkuasa Peranti (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kit ujian kendiri Covid-19 yang memperolehi kelulusan bersyarat dari MDA dibenarkan dijual di premis-premis lain.

“Kementerian juga telah mewartakan pelitup muka sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah menetapkan harga maksimum bagi pelitup muka ini di bawah Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.7) 2020 pada 1 November 2020.

“Berhubung dengan cadangan Yang Berhormat supaya kementerian menetapkan harga siling peranti oximeter dan penyukat suhu, saya menghargai dan menyambut baik cadangan tersebut. Di pihak kementerian, penetapan harga ke atas peranti tersebut akan dilaksanakan jika terdapat keperluan,” ujarnya. – MalaysiaGazette