Home Politik Calon BN Johor Jaya kekalkan momentum kerja keras dekati pengundi

Calon BN Johor Jaya kekalkan momentum kerja keras dekati pengundi

Calon Barisan Nasional N.42 Johor Jaya, Chan San San beramah mesra bersama peniaga pasar malam bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2022.
JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Johor Jaya, Chan San San mengekalkan momentum kempen dengan bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasannya menjelang sehari lagi berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.
Kata beliau, tempoh singkat itu tidak akan disia-siakan oleh beliau untuk terus mendengar keluhan permasalahan penduduk dalam kawasan Johor Jaya.
Katanya, banyak masalah telah dikongsi penduduk kawasan berkenaan dan jika diberi mandat menjadi wakil rakyat di situ beliau akan berusaha menyelesaikannya satu per satu.
“Dalam Johor Jaya ini banyak tempat saya pergi dan saya berpuas hatilah dengan apa saya lakukan.
“Mungkin ramai juga yang belum berjumpa saya kerana tinggal  sehari jadi saya akan teruskan walkabout dan berjumpa sebanyak mungkin pengundi-pengundi saya di DUN Johor Jaya.
“Jadi saya haraf pegundi di Johor Jaya undilah saya pada 12 Mac untuk menjayakan PRN ini,” katanya.
Calon Barisan Nasional N.42 Johor Jaya, Chan San San
Dalam pada itu, San San turut mencabar  Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong untuk masuk berdebat bersama beliau pada malam ini menggunakan bahasa Melayu.
Cabaran itu ekoran dakwaan tidak berasas Chin Tong kononnya calon-calon MCA tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan tanpa menggunakan skrip.
Katanya, perkara itu dilihat sebagai taktik kotor  untuk memburuk-burukkan pihak lawan.
Chan San San menegaskan bahawa semua calon BN-MCA dipilih melalui proses pemilihan yang ketat dan teliti  serta memenuhi kelayakan untuk bertanding. – MalaysiaGazette