JOHOR BAHRU – Pejuang akan memotong gaji Menteri Besar Johor sebanyak 20 peratus sekiranya parti itu berjaya membentuk Kerajaan Negeri.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, gaji yang dipotong itu akan disalurkan ke tabung kebajikan dan pendidikan rakyat negeri Johor.
Selain itu, parti itu juga turut merancang untuk memotong gaji exco negeri yang akan dilantik sekiranya rakyat memilih mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
“Gaji wakil rakyat dan exco dibayar oleh rakyat semasa rakyat pada hari ini susah. Maka wajar gaji MB dan exco dipotong sehingga ekonomi negeri dan rakyat pulih.
“Kereta rasmi kerajaan tidak boleh digunakan untuk kerja politik dan peribadi. Contohnya dibawa ke pasar, jumpa kawan-kawan, sanak saudara, kenduri kahwin, solat di masjid dan surau dan program keraian peribadi.
“Ia hanya dikhususkan untuk tugasan rasmi kerajaan sahaja,” kata Mukhirz dalam sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Media Jabatan Penerangan di sini hari ini.
Perkara tersebut adalah tambahan kepada manifesto Pejuang iaitu Aspirasi Johor yang diumumkan sebelum ini.
Selain itu manifesto itu turut memasukkan janji bahawa menteri besar hanya akan memegang portfolio Pengurusan Pertanian dan Luar Bandar yang sinonim dengan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.
Manakala portfolio tradisi yang sering dipegang oleh menteri besar iaitu Kewangan serta Tanah dan Galian akan diserahkan kepada wakil rakyat lain.
“Sebelum ini kita telah melancarkan Aspirasi Johor yang telah diumum oleh Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini yang terbaharu dua hari sebelum pilihan raya.
“Kita rasakan penting juga untuk tunjukkan bahawa kami serius hendak menubuhkan kerajaan dan menteri besar yang dilantik itu menunjukkan tauladan yang baik.
“Untuk membela rakyat yang dalam keadaan sekarang menghadapi banyak tekanan terhadap kehidupan. Ini bukan masanya untuk kita berbelanja dalam projek-projek yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu Mukhriz berkata, Pejuang hanya akan mengumumkan calon menteri besar daripada parti itu selepas menang pilihan raya. -MalaysiaGazette