Home Politik Potong gaji MB, exco Johor gimik murahan Pejuang

Potong gaji MB, exco Johor gimik murahan Pejuang

Dr Shamsul Anuar Nasarah

JOHOR BAHRU – Tambahan manifesto parti Pejuang iaitu mahu memotong gaji dan exco Johor sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai gimik murahan.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, potongan tersebut tidak mendatangkan sebarang signifikan untuk membantu rakyat.

Tindakan tersebut menurut Shamsul Anuar hanya akan menyebabkan rakyat di negeri Johor bertambah muak dan bosan.

“Nak potong gaji MB dan exco? Buat apa potong gaji MB atau exco untuk tabung kebajikan dan pendidikan kerana jumlah wang yang dipotong itu tidak besar mana pun. Dan tidak banyak boleh membantu rakyat.

“Ia lebih kepada gimik politik semata mata kerana itulah rakyat sudah muak, letih dan bosan dengan politik populis sebegini. Ini semua retorik dan tidak ke mana pun,” katanya.

Semalam Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata parti itu akan memotong gaji Menteri Besar Johor sebanyak 20 peratus sekiranya parti itu berjaya membentuk Kerajaan Negeri.

Gaji yang dipotong itu akan disalurkan ke tabung kebajikan dan pendidikan rakyat negeri Johor.

Artikel berkaitan:

Selain itu, Pejuang turut merancang untuk memotong gaji exco negeri yang akan dilantik sekiranya rakyat memilih mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Perkara tersebut adalah tambahan kepada manifesto Pejuang iaitu Aspirasi Johor yang diumumkan sebelum ini.

Manifesto itu turut memasukkan janji bahawa menteri besar hanya akan memegang portfolio Pengurusan Pertanian dan Luar Bandar yang sinonim dengan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

Sementara itu Shamsul Anuar berkata, gimik yang dilakukan Pejuang dalam manifestonya itu tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.

“Apa yang rakyat mahu ialah idea, agenda serta perancangan yang segar, baik dan besar bagaimana mahu menjadi membela dan menjaga kebajikan dan pendidikan rakyat.

“Sekadar gimik politik begini ianya tidak menyelesaikan masalah rakyat.

“Bacalah dan lihat kandungan Ikhtiar BN Johor. Ini akan BN lakukan,” tambah Shamsul Anuar.

Pejuang mempertaruhkan 44 calon sementara Barisan Nasional pula meletakkan calon di semua 56 Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

PRN Johor akan berlangsung esok yang menyaksikan 2,574.835 pengundi biasa akan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Seramai 239 calon akan bertanding dengan 223 calon adalah daripada 10 parti politik dan 16 calon Bebas.-MalaysiaGazette