Home Nasional Tiada aktiviti pembalakan di Taman Bukit Permai 2 – MB

Tiada aktiviti pembalakan di Taman Bukit Permai 2 – MB

Anggota penyelamat dari pelbagai agensi bertungkus-lumus dalam operasi cari dan selamat kejadian tanah runtuh ketika tinjuan Malaysia Gazette diTaman Bukit Permai2 Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 10 MAC 2022

KUALA LUMPUR – Tiada aktiviti pembalakan atau pengosongan tanah yang mendorong kepada kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang.

Sebaliknya menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, hujan yang berterusan sejak beberapa hari menyebabkan berlaku pergerakan tanah atas bukit.

“Daripada tinjauan kita tidak ada sebarang aktiviti yang berlaku di kawasan tanah yang runtuh tidak ada aktiviti pembalakan, pengosongan tanah.

“Ini disebabkan hujan yang berlaku beberapa hari menyebabkan tanah terurai,” katanya.

Amirudin berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 hari ini.

Tambah Amirudin, dalam masa yang sama, tidak ada aduan sebarang aktiviti yang mencurigakan yang berlaku di kawasan tersebut.

Sebagai rekod, penduduk  perumahan berkenaan digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada runtuhan tanah yang berlaku sebanyak dua kali ketika hujan lebat petang semalam.

Tanah runtuh berkenaan merahut empat nyawa dan seorang lagi cedera ringan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac ini. – MalaysiaGazette